
JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan bahawa tiada ancaman tsunami terhadap Malaysia susulan gempa bumi kuat yang berlaku di pesisir timur Kamchatka, Rusia.
Dalam satu kenyataan, MetMalaysia berkata, gempa bumi tersebut berlaku pada pukul 7.24 pagi waktu Malaysia, terletak 107 kilometer ke tenggara Petropavlovsk-Kamchatskiy, Rusia, pada kedalaman 42 kilometer.
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi berkenaan berukuran magnitud 8.7 dan berlaku 126 kilometer di timur-tenggara Petropavlovsk-Kamchatsky.
BACA LAGI: [VIDEO] Gempa bumi kuat Rusia akibatkan tsunami landa Hokkaido di Jepun, Indonesia siap siaga
Media antarabangsa melaporkan bahawa beberapa negara termasuk Jepun, Amerika Syarikat, Filipina dan Indonesia telah mengeluarkan amaran tsunami susulan kejadian tersebut.
Dilaporkan gelombang tsunami pertama dilaporkan telah melanda pulau utama utara Hokkaido, Jepun dengan ketinggian sekitar 30 sentimeter (satu kaki), menurut laporan agensi berita AFP.
Penyiar berita, NHK melaporkan bahawa gelombang tersebut telah ‘mendarat’ di pesisir Hokkaido dan memberi amaran bahawa gelombang susulan berkemungkinan jauh lebih tinggi dan berbahaya.
Sebelum ini, Agensi Cuaca Jepun mengeluarkan amaran bahawa ombak tsunami yang setinggi sehingga tiga meter dijangka akan melanda sepanjang pantai utara dan timur Jepun, termasuk kawasan sehingga ke Wakayama di selatan Osaka.
Dalam satu rakaman video siaran langsung, kelihatan orang ramai berlindung di atas bumbung bangunan sebagai usaha menyelamatkan diri daripada ancaman tsunami.
Pihak berkuasa tempatan turut menggesa penduduk di kawasan berisiko untuk segera berpindah ke tempat yang lebih tinggi dan mematuhi arahan keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Kejadian berkenaan berlaku susulan gempa bumi kuat berukuran magnitud 8.7 menggegarkan perairan berhampiran Semenanjung Kamchatka di Timur Jauh Rusia pada Rabu menyebabkan tsunami setinggi sehingga empat meter.
Ia menyebabkan merosakkan bangunan dan mencetuskan arahan pemindahan di kawasan terjejas termasuk sebahagian besar pantai timur Jepun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram