[VIDEO] Caj harga serendah RM0.78, wanita Indonesia cetus fenomena buka salun bermotor, tawar servis lukis kening mesra wuduk


  • Bisnes
  • Sabtu, 26 Jul 2025

Perniagaan salun kening dijalankan oleh Sintiya menggunakan motosikal di beberapa kawasan di Indonesia. — Agensi

 

 

DENGAN hanya berbekalkan motosikal, cermin kecil dan kemahiran bersolek, seorang wanita muda berjaya mencetuskan fenomena baharu dalam dunia kecantikan.

Kisah pemilik salun kening bergerak, Brow Tint Henna Alis Halal, Sintiya Sinwa dari Cirebon, Jawa Barat, Indonesia tular selepas videonya sedang menjalankan operasi perniagaannya di tepi jalan dimuat naik di media sosial.

Dalam video tersebut, Sintiya dilihat khusyuk melukis kening pelanggan yang beratur di keliling motosikalnya.

BACA LAGI: Pernah tinggal RM50 dalam dompet, bekas pramugari kini pemilik kafe Torte by Linda, saji hidangan Eropah Timur

BACA LAGI: Pasang niat tunai haji cetus 'big why' isteri tentera, jual agar-agar santan kreatif dari rumah

Sintiya bersama pasukannya akan menjalankan perniagaan salun keningnya dengan menggunakan motosikal. — Agensi

Meskipun tanpa kedai atau hiasan mewah, hasilnya cukup membuatkan para pelanggan setia menunggu giliran mereka untuk mendapatkan kening yang cantik.

Namun, lebih mengejutkan apabila wanita berusia 27 tahun itu hanya mengenakan harga serendah RM0.78 (RP3,000) bagi satu sesi lukisan kening.

"Idea ini tercetus secara tidak sengaja selepas saya berkongsi tentang solekan di media sosial.

"Saya juga banyak terima permintaan untuk mengajar cara melukis kening.

"Saya dapati ia adalah cabaran biasa bagi kebanyakan wanita dan disitulah idea timbul untuk bukan sahaja mendidik dalam talian, tetapi keluar dan membantu mereka secara bersemuka," katanya.

Pelanggan sanggup beratur menunggu giliran untuk mendapatkan bentuk kening yang cantik. — Agensi

Langkah itu ternyata membuahkan hasil.

Rata-rata pelanggan memuji perkhidmatannya mesra dan hasil kerja yang begitu kemas.

Malah, ada juga yang memberi wang tambahan sebagai tanda penghargaan.

Bermula sejak Mac 2024, Sintiya pada asalnya hanya menjual produk pewarna kening yang mesar wuduk dan halal.

"Browie Brow Tint kami direka khas sebagai inai kening mesra wuduk yang tahan selama tiga hari dan halal digunakan bagi wanita Muslim.

"Pelanggan juga sangat menghargai hasil kerja saya kerana mereka percaya bahawa melukis kening bukan sesuatu yang mudah," jelasnya.

 

 

 

 

Tambahnya, perniagaan berkonsepkan mobile eyebrow salun itu juga akan merentasi beberapa kawasan di Jakarta.

"Kami harap inisiatif ini bukan sahaja akan berkembang dalam komuniti tetapi menjadi sumber pendapatan alternatif fleksibel yang boleh dilakukan dari mana-mana sahaja.

"Kami ingin menunjukkan bahawa semua orang boleh maju dengan kemahiran mereka," ucapnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram