
MUNGKIN ramai beranggapan bahawa masalah gigi berlubang adalah perkara biasa yang dialami setiap individu.
Kebiasaannya, masalah gigi juga berlaku berpunca daripada pengambilan makanan atau sikap mengambil remeh tentang penjagaan mulut.
Lebih menggerunkan apabila ia bukan sahaja memberi kesan kepada diri sendiri, malah sebenarnya turut berisiko untuk dijangkiti individu lain.
BACA LAGI: Pasang niat tunai haji cetus 'big why' isteri tentera, jual agar-agar santan kreatif dari rumah
Bakteria mudah berpindah dari seorang individu ke individu lain jika melakukan sentuhan fizikal seperti ciuman mulut.
Menurut doktor gigi di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Mohd Kairul Izwan, jangkitan bakteria mudah berpindah dari seorang individu ke individu lain termasuk dalam kalangan ahli keluarga.
Jangkitan itu juga lebih berisiko terutama bagi kanak-kanak yang masih kecil atau bayi.
"Tahukah anda, kerosakan gigi merupakan suatu 'penyakit' yang boleh berjangkit?.
"Ini kerana salah satu punca terjadinya kerosakan gigi adalah disebabkan oleh kehadiran bakteria yang ada di dalam mulut kita terutama dari spesis Streptococcus mutans (S.mutans).
"Ini bermakna, jika anda mempunyai gigi yang berlubang, anda berpotensi untuk menyebarkannya kepada orang lain termasuk pasangan dan anak-anak," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Ia boleh tersebar melalui ciuman, berkongsi sudu, garfu, cawan atau penyedut minuman.
Kanak-kanak juga merupakan golongan paling mudah terdedah kepada jangkitan atau bakteria disebabkan struktur enamel gigi mereka yang masih lembut dan mudah rosak.
Justeru, beliau menyarankan agar orang ramai terutama ibu bapa mengambil langkah pencegahan dengan mengubah beberapa tabiat harian yang selama ini dianggap remeh tetapi berisiko tinggi.
"Jadi sebaiknya elakkan mencium anak anda di mulut. Cium pada ubun-ubun kepala atau dahi.
"Elakkan merasa makanan sebelum disuap ke dalam mulut anak atau bayi anda.
"Elakkan berkongsi sudu, garfu, cawan atau penyedut minuman dengan pasangan anda.
"Boleh nak buat, tetapi pastikan mulut anda bersih dan bebas daripada sebarang kerosakan gigi
"Berus gigi setiap hari sekurang-kurangnya dua kali sehari dengan ubat gigi berfluorida serta jangan lupa guna benang (floss) di celah-celah gigi anda sekali ya," sarannya.
Selain penjagaan kendiri, beliau turut menekankan kepentingan lawatan berkala ke klinik gigi untuk memastikan kesihatan dan kebersihan mulut dengan lebih terperinci. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram