Kempen #KitaBerkebaya angkat semula kebaya sebagai pakaian harian di Indonesia, nilai sentimental tak telan zaman


  • Gaya
  • Rabu, 23 Jul 2025

Kebaya kutu baru antara rekaan menjadi pilihan Maudy Ayunda (kanan). — Agensi

DALAM usaha melestarikan budaya dan memperkukuhkan identiti nasional, kempen dengan meragakan fesyen kebaya dilaksanakan sempena sambutan Hari Kebaya Kebangsaan yang diraikan setiap 24 Julai di Indonesia.

Kempen menerusi filem pendek #KitaBerkebaya itu juga menampilkan beberapa selebriti dan pempengaruh terkenal di negara tersebut.

Menjadi antara individu penting dalam menyebarkan kempen tersebut, pelakon dan penyanyi, Maudy Ayunda mencuri tumpuan selepas berkongsi kisah peribadinya yang berkait rapat dengan kebaya.

BACA LAGI: Mesin 'legend' arwah ayah jadi sumber semangat graduan UKM hasilkan bantal sensori bayi

BACA LAGI: Dulu cipta sepatu pelik, unik, kini pereka Switzerland dilantik pengarah kreatif kasut jenama terkemuka

Kempen #KitaBerkebaya  dilaksanakan sempena sambutan Hari Kebaya Kebangsaan setiap 24 Julai di Indonesia. — Agensi

Dalam sidang media filem pendek itu baru-baru ini, Maudy mengungkapkan bahawa kebaya bukan sekadar busana tradisional, malah mempunyai nilai sentimental mendalam dalam hidupnya.

Katanya, kebaya kutu baru juga merupakan antara jenis kebaya tradisional Indonesia yang menjadi pilihan dan kegemarannya.

Kebaya kutu baru memiliki ciri khas berupa tambahan kain di depan yang menghubungkan sisi kanan dan kiri kebaya di sekitar dada.

Baginya, rekaan kebaya tersebut bukan hanya terletak pada keanggunannya, tetapi memiliki makna di sebaliknya.

"Rasanya kebaya kutu baru paling saya suka. Pertama sekali, saya seorang yang sentimental.

"Saya juga sering memakai kebaya kutu baru untuk detik-detik istimewa seperti perkahwinan saya," jelasnya.

Maudy pada masa mendedahkan bahawa kebaya tersebut turut mengingatkannya pada arwah neneknya.

Meskipun tidak berkesempatan untuk bertemu dengan neneknya, kebaya tersebut menjadi simbol penghubung antara generasi dalam keluarganya.

"Ada sehelai kebaya kutu baru hitam peninggalan arwah nenek.

"Saya tidak pernah berjumpa dengannya kerana dia meninggal dunia selepas saya dilahirkan, tetapi ia tetap jadi kenangan bermakna buat saya," kongsinya.

Sementara itu, kempen #KitaBerkebaya yang pada awalnya bermula di media sosial kini menjadi platform kolektif bagi wanita Indonesia dari pelbagai latar belakang untuk mengangkat semula martabat kebaya sebagai pakaian harian yang membanggakan.

Kempen tersebut juga mampu menyuntik elemen klasik dalam dunia fesyen yang lebih moden. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram