Suami ada sejarah serangan jantung ketika memandu, kereta ditemukan dalam sungai di Muar


  • Tular
  • Selasa, 15 Jul 2025

Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin dilaporkan kali terakhir dilihat keluar dari rumahnya di Jalan Setia Indah dekat Johor Bahru

SEORANG lelaki dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah sejak Isnin selepas memaklumkan kepada isterinya bahawa dia mahu ke bengkel rakannya di Parit Jawa dekat Muar, Johor.

Mangsa, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, dilaporkan kali terakhir dilihat keluar dari rumahnya di Jalan Setia Indah dekat Johor Bahru, Johor pukul 12 tengah hari dengan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Axia berwarna putih bernombor pendaftaran JUH 249.

Menurut isterinya, mereka sempat berhubung sehingga pukul 4 petang sebelum lelaki itu tiba-tiba tidak lagi dapat dihubungi, selain pihak keluarga telah mengambil beberapa inisiatif cuba mengesan suami saya melalui telefon bimbitnya dan didapati tempat terakhir adalah di laluan Jalan Bukit Kepong - Lapis, koordinat 2.35845° U, 102.83936° T.

BACA  LAGI : Tekanan mental, beban kerja berlebihan antara punca kes penderaan kanak-kanak meningkat — Pakar

BACA LAGI : Didakwa anjur sesi motivasi songsang di Shah Alam, Jakim siasat terperinci program eHATI

"Saya bimbang kerana suami pernah mengalami serangan jantung ketika memandu sebelum ini. Usaha menghubunginya selepas pukul 4 petang langsung tidak berjaya,” katanya dalam laporan polis yang dibuat pada Selasa.

Dalam perkongsian laporan itu polis itu juga, keluarga  mencuba pelbagai cara untuk mengesan keberadaan mangsa termasuk menjejak lokasi terakhir telefon bimbit suaminya yang menunjukkan berada di kawasan Jalan Bukit Kepong - Lapis.

"Kami juga hubungi rakannya di Parit Jawa, namun dia memaklumkan suami saya tidak pernah tiba di bengkel tersebut," kata isterinya.

Menurut isteri mangsa lagi, keluarga turut menjalankan usaha mencari sekitar kawasan Lenga, Bukit Kepong dan pekan Muar sekitar pukul 1 pagi, namun tidak menemui sebarang petunjuk.

"Sehingga kini, telefon bimbit suami saya langsung tidak dapat dikesan. Kami amat risau dan berharap bantuan pihak polis serta orang ramai untuk membantu mengesan suami saya,” katanya lagi dlam laporan tersebut

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Kenderaan milik  Nizaruddin yang dikongsikan orang awam. — Orang Awam

Dalam perkembangan terkini, berdasarkan komen di media sosial, terdapat dakwaan kenderaan mirip milik mangsa sudah ditemukan.

Sementara itu, rakannya, Mohd Nazri mengesahkan kenderaan terbabit milik mangsa. 

"Ya kereta dalam sungai itu milik Nizaruddin. Buat ketika ini kami masih menunggu pihak bomba membawa naik kereta tersebut ke tebing. 

"Buat masa sekarang saya tak boleh nak cakap apa-apa," katanya ketika dihubungi Majoriti

Setakat berita ini ditulis belum ada kenyataan polis berhubung insiden itu, selain mangsa juga dilaporkan masih belum ditemui. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram