
PEMPENGARUH permotoran, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin dan adik lelakinya yang membuat laporan palsu berhubung kehilangannya di Sungai Tui, Bukit Kepong dekat Muar, Johor 14 Julai lalu masing-masing dipenjara sebulan dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Muar pada Jumaat.
Memetik laporan Harian Metro, Majistret Suzana Mokhtar membuat keputusan itu selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan jurubahasa terhadapnya.
Mahkamah memutuskan pempengaruh yang lebih dikenali sebagai Ija itu boleh dipenjara tiga bulan manakala Tengku Aziz Tengku Zainudin enam bulan jika gagal bayar denda dengan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh sabitan pada Jumaat.
BACA LAGI: Jejas tugas anggota penyelamat, pempengaruh Ija dan adik boleh dijel 2 tahun — Peguam
BACA LAGI: Suami ada sejarah serangan jantung ketika memandu, kereta ditemukan dalam sungai di Muar
Sebelum ini, dalam kejadian 15 Julai lalu, Ija dilaporkan hilang selepas kereta dipandunya kononnya tenggelam di Sungai Tui, Muar.
Susulan laporan itu, polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) selama empat hari termasuk menggunakan dron, namun hanya menemui sepasang selipar dan topi miliknya.
Siasatan polis mendapati lelaki berusia 38 tahun itu sengaja menenggelamkan kereta milik isterinya sebelum melarikan diri ke Thailand dengan bantuan adiknya, Tengku Abd Aziz.
Tindakan itu mengundang kemarahan orang ramai yang menyifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab dan membazirkan tenaga sumber kerajaan.
Siasatan polis mendapati Ija sengaja menenggelamkan kereta milik isterinya sebelum melarikan diri ke Thailand dengan bantuan adiknya, Tengku Abd Aziz. — Gambar/Orang Awam
Mengikut pertuduhan, Ija dan Tengku Aziz, didakwa memberi laporan palsu dan bersubahat kepada penjawat awam berhubung kehilanganny pukul 11. 38 malam, 15 Julai lalu.
Dua beradik itu didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 182 kanun sama, hukuman penjara boleh sampai enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tengku Aziz membuat laporan berhubung kehilangan abangnya dan keesokan hari, orang awam menemui sebuah kereta dipandu Ija dalam Sungai Tui, Bukit Kepong, 3 petang.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ameerah Allaudeen dan Yasmin Mohd Piah manakala dua beradik itu diwakili peguam, Nor Hafizah Abdullah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Terdahulu, Nor Hafizah dalam hujahan rayuan memberitahu tindakan diambil pempengaruh itu kerana masalah kewangan dialaminya dan bukannya berkahwin di Thailand.
Dalam pada itu, Ija ketika diberi peluang mengemukakan rayuan berkata, dia akan memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak susulan tindakan dilakukannya.
"Saya sudah menyesal dengan tindakan dibuat, saya tak nak penjara. Isteri saya sedang hamil enam bulan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram