
PERUBAHAN zaman dari bujang kepada seorang ibu ternyata menjadi titik perubahan buat Shafiqah Mohd Radhi untuk menceburi bidang perniagaan.
Menjadi suri rumah sepenuh masa juga bukanlah satu kekurangan bagi wanita berusia 32 tahun itu.
Ideanya menghasilkan produk permainan sensori kanak-kanak muncul selepas melahirkan cahaya mata sulungnya.
BACA LAGI: Mengayuh sambil memasak, cef 'modified' basikal jadi dapur dan restoran unik, pusing 1 Denmark
Pelbagai variasi bantal sensori yang dihasilkan Shafiqah.
Kata ibu kepada dua orang anak itu, permainan berkonsepkan bantal kiub dengan gabungan pelbagai karakter haiwan, warna dan abjad terhasil apabila melihat perkembangan anaknya di rumah.
Ilmu yang dimilikinya dalam bidang Sains Bioperubatan ketika melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut menjadi asas kukuh dalam memahami keperluan perkembangan kanak-kanak.
Jahit bantal kiub sensori bayi
Shafiqah yang kini menetap di Melaka juga menyedari kepentingan permainan sensori dalam meningkatkan kemahiran motor dan kognitif bayi.
"Ketika itu anak saya baru empat bulan dan saya rasa dia perlukan rangsangan selain gajet.
"Jadi, saya cuba buat mainan sendiri, tengok YouTube, belajar sediki demi sedikit.
"Sebenarnya mula dengan menjahit tangan sahaja guna stokin," katanya kepada Majoriti.
Lebih mengejutkan apabila Shafiqah sebenarnya tidaklah mahir, malah tiada sebarang asas menjahit pada mulanya.
Anak ketiga daripada empat beradik itu juga mengakui bahawa tidak pernah meminati dalam bidang jahitan meskipun kemahiran itu dimiliki oleh ibunya.
Mesin jahit 'legend' arwah bapa Shafiqah yang digunakannya sehingga kini.
"Semasa zaman belajar, ibu pernah minta saya cuba menjahit dan saya tak tertarik langsung.
"Tetapi, semua berubah selepas saya ada anak.
"Awalnya suka-suka buat untuk anak, tetapi tak secantik sekarang.
"Jahitan saya ketika itu memang sangat kasar dan tidak kemas," katanya sambil menambah bahawa ia tidak menghalang Shafiqah untuk terus mencuba sehingga berjaya.
Kata Shafiqah lagi, mesin jahit tradisional milik arwah bapanya menjadi antara penguat semangat untuk tidak berputus asa dalam perniagaan itu.
Meskipun tidak moden, mesin jahit tersebut mempunyai makna dan nilai tersendiri bagi Shafiqah.
"Mesin ini sangat bermakna sebab arwah ayah pernah pesan untuk jaga mesin ini baik-baik.
"Jadi, sehingga sekarang saya masih guna walaupun dapat tempahan banyak.
"Ada yang cadang beli mesin moden, tetapi saya tetap nak guna arwah ayah punya sebab mahukan pahala itu berterusan dapat ke arwah," jelasnya.
Selamat untuk kanak-kanak
Permainan yang dihasilkannya juga bukanlah sekadar comel atau kreatif, tetapi berdasarkan kajian.
Bagi bayi baru lahir, Syafiqah lebih fokus menghasilkan bantal kiub hitam dan putih.
Katanya, penglihatan bayi hanya mampu melihat kontras warna asas pada peringkat awal.
Bantal sensori bayi mampu membantu merangsang kemahiran motor dan kognitif kanak-kanak.
"Saya memang kaji juga perkembangan visual bayi. Umur bawah empat bulan sesuai dengan warna hitam putih.
"Bila usia empat bulan ke atas baru perkenal warna terang, biasanya saya akan cadang ini kepada pelanggan," ujarnya.
Selain kreatif menggabungkan pelbagai corak dan warna, matlamat utama Shafiqah adalah menghasilkan produk yang selamat untuk bayi dan kanak-kanak.
Katanya lagi, kebanyakan kiub mainan yang dijual di pasaran mempunyai tekstur yang keras dan berkemungkinan dapat mencederakan kanak-kanak.
Disebabkan itu, Shafiqah membuat keputusan untuk memberi inovasi dengan memberi elemen lembut pada mainan tersebut.
Produk bermanfaat
Selain menjana pendapatan tambahan, niat dan tujuannya adalah untuk memberi kesedaran terutama kepada ibu bapa yang memiliki anak kecil.
Biarpun sekadar alat permainan, asalkan ia dapat memberi manfaat kepada orang lain sudah cukup buatnya.
"Bagi saya bisnes ini sangat menguntungkan sebab kalau ikutkan modalnya hanya kain, jarum dan benang.
"Tetapi, masa dan seni kita itu berharga. Bagi saya, sambil kita buat kraf tangan dapat memanfaatkan orang, bukan untuk diri sendiri sahaja.
"Kebanyakan pelanggan saya beri respons yang sangat positif.
"Ada yang bayi dia kerap menangis bila dalam kereta, tetapi dah boleh senyap bila bermain dengan bantal sensori saya.
"Ada pula pelanggan belikan bantal sensori saya banyak untuk ceriakan anak-anak orang kelainan upaya (OKU)," kongsinya.
Katanya, sebanyak lima ke enam unit bantal sensori dapat dihasilkan dalam masa sehari bergantung kepada situasi di rumah.
Malah, tempahan pula boleh mencecah sehingga 50 unit sebulan dan kesemuanya dijahit sepenuhnya olehnya sendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram