'Surat biasa-biasa tapi luar biasa', wanita warga emas dipuji jujur tolak bantuan zakat sebab anak dah bekerja


  • Tular
  • Selasa, 22 Jul 2025

Seorang wanita menyuarakan hasrat untuk menolak bantuan zakat yang dihulurkan kepadanya selama ini kerana sudah mampu membiayai perbelanjaan kehidupan mereka sekeluarga. — Gambar Janaan Ai

SEORANG wanita menyuarakan hasrat untuk menolak bantuan zakat yang dihulurkan kepadanya selama ini.

Difahamkan tindakan itu dibuat ekoran anak-anaknya kini sudah mampu membiayai perbelanjaan kehidupan mereka sekeluarga.

Perkara itu dikongsikan seorang pengguna laman X (Twitter) dengan nama akaun Faisal Rahim pada Isnin.

BACA LAGI: 'Saya rindu rutin siapkan dia ke sekolah, ambil dari taska', ibu Naura hanya mahu keadilan buat arwah anaknya

BACA LAGI: [VIDEO] Kami reda kehilangan Naura, arwah adalah satu-satunya anak tunggal kakak saya — Ayah saudara

Berdasarkan ciapan tersebut, pengguna itu memuat naik sekeping gambar menunjukkan helaian kertas bertulis tangan yang dikirim oleh seorang wanita dikenali sebagai Khatijah.

"Saya Khatijah ingin menolak bantuan zakat kerana anak-anak sudah besar dan bekerja.

"Saya berterima kasih atas bantuan zakat selama ini," katanya seperti yang tertera di kertas berkenaan.

 

 

 

 

Menurut Faisal Rahim, situasi wanita itu menunjukkan bagaimana bantuan kebajikan seperti zakat boleh memainkan peranan penting dalam mengubah kehidupan seseorang bagi jangka masa panjang.

"Terharu betul apabila dapat nota daripada mak cik ini. Beliau terima zakat ketika hidup susah.

"Apabila anak-anak dah bekerja, mereka keluarkan keluarganya daripada kemiskinan. Inilah kitar kebajikan yang diimpikan," tulisnya.

Dia turut menambah, pendidikan berada dalam senarai tiga komponen agihan tertinggi bagi setiap tahun.

Ujarnya, miskin tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak belajar kerana zakat menyokong 100 peratus dari tadika hingga universiti.

"Kita harap, pendidikan anak-anak asnaf ini, bantu keluarkan keluarga mereka daripada kancah kemiskinan kelak. Strategi ini berkesan," katanya.

Perkongsian Faisal Rahim itu turut dikongsikan oleh pengguna media sosial yang lain. Malah seorang pengguna Facebook, Azrul Khairi meluahkan rasa kagum dan memuji tindakan warga emas tersebut. 

"Surat biasa-biasa tapi LUAR BIASA," katanya. 

Untuk rekod, zakat hanya akan diterima oleh individu yang benar-benar layak dan tergolong dalam golongan asnaf seperti yang telah digariskan oleh pihak berkuasa agama. 

Ini termasuk fakir, miskin, amil, muallaf, riqab, gharimin (berhutang), fisabilillah dan ibnu sabil. Pemohon perlu mengemukakan dokumen sokongan yang sah bagi memastikan ketelusan dan keadilan dalam pengagihan bantuan zakat.

Langkah ini penting bagi memastikan kutipan zakat diagihkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, selaras dengan objektif untuk mengurangkan jurang kemiskinan serta membantu kebajikan umat Islam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram