
TINDAKAN mulia seorang penjual durian yang menghadiahkan durian Musang King secara percuma kepada tiga budak lelaki mencuri perhatian dan mencetuskan rasa terharu dalam kalangan warga maya.
Menerusi satu video yang dimuat naik oleh pemilik akaun TikTok @Bala_Durian, tiga budak lelaki tersebut dilihat datang ke gerainya di Jalan Negara, Taman Melawati, Kuala Lumpur dengan membawa wang simpanan sendiri untuk membeli durian.
Menurut perkongsian itu, penjual durian yang dikenali sebagai Bala tersebut dilihat tersentuh hati apabila mengetahui bahawa budak-budak berkenaan menyimpan duit tabung mereka semata-mata kerana teringin merasa buah durian.
Dalam video berdurasi satu minit 52 saat itu, ketiga-tiga mereka dilihat mengeluarkan wang mereka secara bergilir-gilir bagi mencukupkan jumlah untuk membeli sebiji durian.
Namun, jumlah yang dikumpul hanya sekitar RM15, jauh daripada harga sebenar durian premium seperti Musang King.
Menyedari usaha dan niat ikhlas mereka, Bala membuat keputusan untuk tidak menerima wang tersebut, sebaliknya menghadiahkan sebiji durian Musang King kepada mereka tanpa perlu ditimbang atau dibayar.
Lebih mengharukan, beliau turut memberikan sebiji lagi durian dalam beg plastik kepada mereka sebagai tambahan.
Tindakan Bala itu mendapat pujian ramai pengguna media sosial yang rata-ratanya kagum dengan sikap pemurah dan prihatin beliau terhadap kanak-kanak yang sanggup menabung demi menikmati ‘raja buah’ itu.
"Terima kasih Bala, bahagiannya adik-adik itu, semoga dimurahkan rezeki," kata @ina_yamin88.
"Dengan beri rezeki kepada budak-budak, kebaikan Bala akan dibalas 100 kali ganda, percayalah," kata @bdk_saga.
"Terbaik abang Bala, belanja adik-adik makan durian, Insya-ALLAH, rezeki awak bertambah-tambah lepas ini," kata @Naim_Mokhtar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram