
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar pihak pembangkang untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadapnya di Dewan Rakyat sekiranya benar mereka berhasrat untuk menukar kerajaan sedia ada.
Menurut Anwar, beliau telah memaklumkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul agar memberikan ruang sekiranya usul tersebut dibawa pada persidangan Parlimen yang bermula hari ini (21 Julai).
"Saya dengar suara-suara yang mendesak supaya saya meletak jawatan. Ada juga yang merancang untuk berhimpun.
BACA LAGI: Polis siasat punca sebenar kematian pelajar asrama perempuan di Papar
BACA LAGI: [VIDEO] Mangsa samseng 4x4 enggan panjangkan kes, polis Klang tetap cari suspek
"Polis sudah beri laporan kepada saya dan saya kata, jangan sekat jalan. Bila ditanya apakah keutamaan himpunan itu, penganjur jawab ‘kerajaan mesti ditukar, kami tidak mahu tunggu pilihan raya umum’.
“Jadi saya kata tidak mengapa. Saya sudah beritahu Speaker, jika ada usul undi tidak percaya, bawa saja. Hari ini hari pertama sidang Parlimen, saya tunggu usul itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Warga Jabatan Perdana Menteri di Dewan De’ Seri Endon, Puspanitapuri, Putrajaya pada Isnin.
Anwar yakin usul undi tidak percaya tidak akan dibawa kerana pembangkang sedar kerajaan memiliki sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat.
Anwar bagaimanapun yakin usul itu tidak akan dibawa kerana pihak pembangkang menyedari bahawa beliau mempunyai sokongan dua pertiga majoriti ahli Dewan Rakyat.
“Mereka tahu mereka tidak boleh kemuka usul kerana kita ada sokongan dua pertiga. Tapi mereka tetap tolak kerajaan. Jika bertindak di luar batas perlembagaan dan undang-undang, kita akan bertindak tegas,” tegasnya.
Tambah Anwar, segala usaha dan pencapaian kerajaan ketika ini akan sia-sia sekiranya negara terus diganggu dengan ketidaktentuan politik serta kekacauan yang menggugat kestabilan dan keselamatan.
Sementara itu, satu perhimpunan yang dinamakan 'Himpunan Turun Anwar' dijadual berlangsung pada 26 Julai ini.
Kementerian Dalam Negeri telah menyatakan kesediaan untuk memudahkan perhimpunan tersebut dengan penugasan seramai 2,000 anggota polis bagi mengawal keadaan sepanjang ia berlangsung. — The Star/ZAKIAH KOYA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram