
AKTIVIS dan penulis terkenal, Zeeda Aziz, meluahkan kebimbangannya terhadap kegiatan perniagaan yang mengambil kesempatan terhadap individu yang berada dalam keadaan terdesak, termasuk dalam isu membabitkan perkhidmatan eHati yang kini hangat diperkatakan.
Dalam satu hantaran tegas yang dimuat naik di media sosial, Zeeda mendedahkan pandangan kritikalnya terhadap strategi manipulatif yang sering digunakan oleh sesetengah pihak bagi meraih keuntungan mudah.
"Pernah seseorang memberi nasihat perniagaan kepada saya: Tak tahu nak berniaga apa? Jual barang kepada golongan yang terdesak," tulisnya, sambil menyenaraikan pelbagai bentuk kebergantungan seperti terdesak untuk kurus, cantik, sihat, kaya dan bahkan tambah pahala.
BACA LAGI: Rahsia minyak aromaterapi, Vanessa kongsi cara atasi tekanan, tidur lebih lena
BACA LAGI: Dunia ‘influencer’ tidak lari dari kritikan, cara tindak balas cerminan siapa kita — Khainina
Namun yang lebih merisaukan, tambah Zeeda, ialah apabila terdapat perniagaan yang secara terang-terangan menyasarkan individu terdesak untuk disayangi dan disentuh secara seksual.
Walaupun tidak menyebut secara terperinci nama individu atau syarikat tertentu, hantaran Zeeda dipercayai merujuk kepada isu perkhidmatan eHati.
Ia merupakan satu perkhidmatan tidak konvensional yang dilaporkan menawarkan 'teman digital' atau interaksi intim secara maya kepada pelanggan.
Perkhidmatan seperti itu sering menggunakan pendekatan emosi bagi menarik minat pelanggan, khususnya golongan wanita yang kesunyian, terabai atau sedang melalui fasa emosi tidak stabil.
"Pelanggan eHati terdesak untuk dapat apa yang mereka mahukan sehingga terbuang malu, terlupa iman," katanya lagi dalam nada kecewa.
Zeeda juga menekankan bahawa keperluan kasih sayang seharusnya tidak dipenuhi dengan jalan yang merendahkan maruah diri atau bertentangan dengan nilai agama.
"Jika terdesak mahukan sesuatu, minta pada Yang Maha Kaya, Allah S.W.T! Bukan minta pada manusia sampai kena londeh semua," tegasnya.
Dalam amaran yang lebih luas, Zeeda turut menggesa masyarakat untuk lebih peka terhadap corak pemikiran yang sering digunakan oleh ketua-ketua ajaran sesat dan kultus, sama ada dalam konteks keagamaan mahupun komersial.
"Orang Malaysia kena rajin baca kisah-kisah kultus di luar negara. Ketua kultus banyak menggunakan agama untuk menarik kepercayaan pengikut, penganut atau pelanggan," katanya sambil menekankan pentingnya pengetahuan dan kesedaran sebagai pelindung diri.
Hantaran Zeeda kini tular dan mendapat pelbagai reaksi orang ramai yang menyokong ketegasannya dalam menegur fenomena tersebut.
Ramai bersetuju bahawa perniagaan berasaskan manipulasi emosi dan keperluan seksual perlu dihentikan dan dipantau lebih ketat oleh pihak berkuasa.
Dalam dunia yang semakin celaru antara batas etika dan keuntungan, suara seperti Zeeda Aziz menjadi peringatan bahawa kejujuran, harga diri dan iman tidak seharusnya digadaikan hanya kerana kesunyian atau kekosongan sementara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram