
POLIS sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kematian seorang pelajar perempuan yang ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada Rabu.
Mangsa berusia 13 tahun yang juga penghuni asrama sebuah sekolah menengah di Papar, dipercayai terjatuh dari bangunan sebelum ditemukan kira-kira pukul 3 pagi.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada pukul 8.16 pagi.
BACA LAGI: Tragedi Zara Qairina, ibu dakwa anak dibuli, KPM beri jaminan siasatan menyeluruh
BACA LAGI: [VIDEO] Ditegur jarang masuk kelas, guru mengamuk tumbuk cermin dalam kelas
Katanya, mangsa kemudian segera dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu, Sabah untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Namun, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 1 tengah hari pada Khamis (17 Julai),” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, siasatan menyeluruh kini sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk meneliti semua aspek yang berkaitan.
“Orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan dan menghormati privasi serta perasaan keluarga mangsa yang sedang berduka,” katanya.
Kamaruddin turut menggesa orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar di talian 088-912222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, insiden menimpa pelajar perempuan berasal dari Sipitang itu tular selepas berita mengenainya dikongsikan di media sosial, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dan spekulasi dalam kalangan warga maya.
Dalam satu hantaran di Facebook, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang melawat ibu pelajar Tingkatan Satu tersebut di hospital berkata, kementerian akan menjalankan siasatan serta memberikan bantuan sewajarnya. — The Star/MUGUNTAN VANAR
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram