[VIDEO] Mangsa samseng 4x4 enggan panjangkan kes, polis Klang tetap cari suspek


  • Kes
  • Sabtu, 19 Jul 2025

Tangkap layar memaparkan kenderaan pacuan empat roda bertindak menghimpit dan mengancam pemandu lain di Klang.

POLIS Klang Utara tetap meneruskan usaha mengesan seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda yang bertindak samseng di Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara, Klang, Selangor pada Khamis (17 Julai), meskipun mangsa enggan memanjangkan kes dan hanya mahu membuat tuntutan insurans.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, insiden yang berlaku sekitar pukul 6.15 petang itu melibatkan sebuah kemalangan membabitkan dua kenderaan ketika lalu lintas sesak menghala ke Lebuhraya Persekutuan.

“Hasil siasatan awal mendapati pemandu 4x4 tersebut telah menghimpit dan melanggar sebuah kenderaan lain, selain turut mengancam pemandu terbabit sebelum melarikan diri dari lokasi,” katanya menurut laporan Harian Metro.

BACA LAGI: Pempengaruh hilang rupanya lari ke Thailand, subahat dengan adik sebelum tenggelamkan kereta isteri dalam sungai — Polis Muar

BACA LAGI: [VIDEO] Tiada petunjuk baharu, operasi SAR Ija Nizaruddin di Sungai Tui ditamatkan

Menurut beliau, anggota trafik yang berada berhampiran lokasi tidak sempat menahan suspek kerana sedang menjalankan tugas kawalan lalu lintas pada waktu itu.

Beliau memaklumkan bahawa mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan memilih untuk tidak meneruskan tindakan undang-undang, sebaliknya hanya membuat tuntutan insurans.

“Namun, polis akan tetap jalankan siasatan dan mengesan suspek bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil,” tambahnya.

Kes disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Lalu Lintas Jalan 1959.

Sebelum ini, rakaman kejadian berdurasi lebih tiga minit tular di media sosial, menunjukkan pemandu 4x4 berkenaan bertindak agresif, termasuk memarahi pengguna jalan raya lain yang tidak memberi laluan semasa kesesakan lalu lintas berhampiran sebuah pusat beli-belah di Bukit Raja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram