[VIDEO] Pemandu pikap himpit kereta lain di Klang dakwa mahu bawa ibu ke hospital


  • Kes
  • Ahad, 20 Jul 2025

Tangkap layar dari rakaman kes memaparkan pikap tersebut menghimpit kenderaan lain dalam kejadian di Klang pada Sabtu.

PEMANDU trak pikap yang tular menghimpit dan mengancam pemandu kereta lain di Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara berdekatan Bukit Raja, Selangor pada Khamis lalu dipercayai mahu ke rumah ibunya.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, lelaki berusia 29 tahun itu juga tampil membuat laporan polis dengan ditemani peguam di Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, kira-kira pukul 10 malam Sabtu.

Katanya, suspek kemudian ditahan pada awal pagi Ahad dan dibawa bagi menjalani ujian saringan air kencing.

BACA LAGI: Tular kes pelajar perempuan dibuli dalam tandas di Klang, polis akan ambil tindakan tegas

BACA LAGI: [VIDEO] Tular tergelincir di selekoh Bentong, polis cari 2 penunggang 'superbike' terbabit kemalangan

“Hasil saringan kemudian mendapati suspek negatif dadah dan diberi jaminan polis pada pukul 3 pagi. Berdasarkan keterangan, ketika kejadian suspek mahu pergi ke rumah ibunya yang terjatuh dan ingin membawanya ke hospital,” katanya pada Ahad.

Vijaya berkata, kes itu diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Media pada Sabtu melaporkan, seorang pemandu pikap dikesan selepas tindakannya menghimpit dan mengancam pemandu kereta lain tular di media sosial.

Menerusi video berdurasi lebih tiga minit itu, individu terbabit dilihat menumbuk cermin bahagian pemandu Perodua Myvi dan bertindak kasar ketika dileraikan seorang anggota polis.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 6.15 petang, Khamis lalu itu membabitkan dua kenderaan.

Pemandu Perodua Myvi itu tidak mengalami kecederaan dan tidak mahu memanjangkan kes serta hanya ingin membuat tuntutan insurans kemalangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram