Hasrat bercuti bertukar tragedi, budak 10 tahun trauma ibu bapa masih hilang akibat insiden bot terbalik di Teluk Ha Long


  • Bonda
  • Ahad, 20 Jul 2025

Hoang ditemui masih hidup selepas terperangkap dalam bot pelancong yang karam di Teluk Ha Long, Vietnam pada Sabtu.

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditemui masih hidup selepas terperangkap dalam bot pelancong yang karam di Teluk Ha Long, Vietnam pada Sabtu.

Namun begitu, kedua-dua ibu bapanya masih belum ditemui sehingga kini.

Mangsa, Hoang Nhat M. berasal dari Ward Hoang Mai, Hanoi ditemukan sekitar pukul 6 petang selepas pasukan penyelamat mengesannya di dalam bangkai bot Vinh Xanh 58 yang karam akibat ribut.

BACA LAGI: 'Kami sekufu tapi dia lebihkan ibu', lelaki kenakan syarat tinggal bersama bakal mentua, wanita pilih undur diri

BACA LAGI: Bila waktu terbaik untuk nikah? Berikut panduan pilih tarikh perkahwinan ikut syariat Islam

Difahamkan, beliau dan keluarganya menaiki bot pelancong tersebut untuk percutian.

Menurut petugas perubatan, kanak-kanak itu ditemui di dalam ruang udara (air pocket) kapal dan berada dalam keadaan fizikal yang stabil. 

Bagaimanapun, beliau dilaporkan masih berada dalam keadaan trauma.

“Semuanya berlaku terlalu pantas. Saya cuba keluar dan kemudian tentera datang menyelamatkan saya,” katanya.

Ketika ini, Hoang sedang dirawat di Hospital Bai Chay bagi tujuan pemantauan, manakala usaha mencari ibu bapanya masih giat dijalankan. 

Untuk rekod, bot pelancong berlesen itu membawa seramai 53 individu terdiri daripada 48 penumpang termasuk tujuh kanak-kanak dan lima kru yang kesemuanya merupakan warga Vietnam.

Ketika kejadian, bot itu dalam perjalanan pulang ke Pelabuhan Penumpang Antarabangsa Ha Long sebelum dipukul angin kencang berhampiran kawasan antara Hon Ga Choi dan Hon Co Don sehingga menyebabkan ia terbalik secara tiba-tiba.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Rakyat Quang Ninh, Nguyen Van Cong memaklumkan bahawa operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan secara menyeluruh.

“Paras air yang rendah ketika ini memudahkan akses ke lokasi bot. Namun, operasi perlu dilakukan dengan cermat demi keselamatan anggota penyelamat,” katanya.

Pasukan penyelamat terdiri daripada bomba, polis trafik, pengawal pantai, penguat kuasa perikanan serta penyelam profesional telah digerakkan ke lokasi kejadian.

Penyelam profesional, Tran Huy Lieu berkata, keadaan dasar laut yang rumit menyukarkan operasi.

“Fokus kami kekal iaitu mencari mangsa yang masih hidup. Usaha mengangkat bot dijangka mengambil masa sehingga lewat malam atau awal pagi,” jelasnya. 

Terdahulu, memetik laporan BBC News, sekurang-kurangnya 34 orang maut dan puluhan lagi hilang selepas bot membawa pelancong di sekitar Ha Long Bay di Vietnam, terbalik sebelum karam.

Bot dikatakan membawa 48 penumpang dan lima anak kapal itu terbalik berikutan hujan lebat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram