
PELAWAK terkenal, Amir Raja Lawak kini bukan sahaja aktif di dunia hiburan, malah turut bergiat dalam bidang perniagaan apabila menjual ayam goreng secara francais di bawah jenama APFC di Medan Usahawan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan.
Apa yang menarik, Amir atau nama sebenarnya, Mohammad Amirullah Azmi, 35, memilih untuk membuka kedainya seawal Hari Raya Aidiladha kedua walaupun kebanyakan peniaga mengambil cuti panjang sempena musim perayaan.
Bukan itu sahaja, bagi mengajak lebih ramai pengunjung ke gerainya, Amir yang dicungkil bakatnya menerusi program realiti, Raja Lawak tersebut sempat berseloroh dengan menggunakan rambut gaya 'helmet' sebagai tarikan.
BACA LAGI: Ramai komplen nasi ayam gepuk mahal, rupanya gajus punca harga cecah belasan ringgit
BACA LAGI: Tubuh Naza Group pada usia 21 tahun, Allahyarham Nasimuddin kebanggaan Kuala Pilah
Menerusi satu hantaran di laman Facebook pada Rabu, anak jati Kelantan yang berasal dari Kubang Kerian, Kelantan berkenaan mencabar pengikut dan pelanggannya untuk datang terus ke kedainya tersebut bagi melihat gaya rambut terbaharunya.
"Puas hati korang? Rambut panjang kata macam helmet, potong rambut pendek pun kata macam helmet lagi. Nak tahu saya gunting nombor berapa, mari datang kedai dulu saya beritahu depan-depan
"Medan selera stadium Kota Bharu, mengadap Hotel Perdana. Buka pukul 11 pagi sampai 11 malam. Raya pertama cuti sehari, raya kedua Sabtu sudah buka. Datang lepak bawa kawan-kawan, bawa keluarga okey," katanya.
Bagi yang berada di Kota Bharu atau sekitar Kelantan, inilah peluang untuk bukan sahaja berjumpa dengan Amir berserta gaya terbaharunya itu tetapi juga merasai sendiri produk ayam gorengnya.
Untuk rekod, premis APFC Amir mula beroperasi pada penghujung September 2024 selepas dia dihubungi oleh seorang individu yang menawarkannya untuk membuka francais jualan ayam goreng tersebut.
Hasil usaha pemasaran yang efektif, restorannya menerima sambutan yang agak baik daripada bukan sahaja penduduk setempat, malah pelanggan yang datang dari luar negeri termasuk Pahang dan Terengganu.
Selain APFC, Amir juga mempunyai perniagaan air jagungnya yang dikenali dengan jenama Air Jagung Amirreka kini tertumpu di Lembah Klang dengan operasi melibatkan kira-kira lima cawangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram