[VIDEO] Pendaki Swiss jatuh Gunung Rinjani alami pendarahan mata, patah tulang paha diterbangkan ke hospital di Bali


  • Benua
  • Khamis, 17 Jul 2025

Benedikt Emmenegger diselamatkan menerusi operasi penyelamatan membabitkan bantuan udara. — Agensi

SEORANG pendaki warga Switzerland, Benedikt Emmenegger mengalami kecederaan serius selepas terjatuh ketika menuruni laluan curam dari Pelawangan ke Danau Segara Anak, Gunung Rinjani, Indonesia pada Rabu.

Mangsa yang berusia 46 tahun mengalami patah tulang paha dan lengan serta pendarahan di mata itu segera diterbangkan ke Hospital BIMC Kuta, Bali, menggunakan helikopter untuk rawatan lanjut.

Ketua Pejabat Agensi Mencari dan Menyelamat (SAR) Mataram, Muhamad Hariyadi berkata, helikopter milik Bali Air berjaya mendarat berhampiran lokasi kejadian bagi menjalankan proses evakuasi.

BACA LAGI :  [VIDEO] Remaja 17 tahun maut dihempap pokok ketika memancing di Ayer Baloi

BACA LAGI : TERKINI: Suami ada sejarah serangan jantung ketika memandu, kereta ditemukan dalam sungai di Muar

"Mangsa terus dibawa ke Hospital BIMC Kuta di Denpasar untuk mendapatkan rawatan segera,” katanya ketika dihubungi di Mataram.

Beliau berkata, pemindahan udara itu turut melibatkan seorang doktor warga Sepanyol yang mencadangkan agar mangsa dievakuasi menggunakan helikopter bagi mengelakkan risiko pendarahan lebih serius.

Difahamkan, helikopter itu mendarat di helipad Bali Air sekitar pukul 5.30 petang waktu tempatan sebelum mangsa dihantar ke hospital.

 

Insiden berkenaan dimaklumkan kepada pihak Balai Taman Nasional Gunung Rinjani (BTNGR) pada pukul 11.25 pagi, Rabu. 

Emmenegger dilaporkan memulakan pendakian dari laluan Sembalun pada Selasa bersama seorang pemandu dan porter.

Bagaimanapun, pada keesokan harinya, mangsa dipercayai tergelincir ketika menuruni laluan curam kira-kira 25 minit sebelum tiba di kawasan dikenali sebagai Jambatan Besi.

Susulan laporan daripada pasukan lapangan, BTNGR segera mengaktifkan koordinasi kecemasan melibatkan pelbagai agensi termasuk Pejabat SAR Mataram, Pos SAR Kayangan, pasukan perubatan dan sukarelawan.

“Pasukan penyelamat digerakkan dengan kelengkapan mendaki dan peralatan evakuasi yang sesuai bagi memastikan operasi berjalan dengan pantas dan selamat,” jelas Hariyadi.

Misi menyelamat turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi seperti BTNGR, EMHC, Rinjani Squad, Basarnas, TNI-Polri, BPBD, sukarelawan dan pemandu tempatan.

"Keselamatan mangsa menjadi keutamaan. Terima kasih kepada semua pihak yang bertindak pantas, cekap dan profesional sepanjang proses ini," tulis BTNGR menerusi hantaran di Instagram rasmi mereka.

Insiden itu berlaku hanya beberapa minggu selepas tragedi yang meragut nyawa seorang pendaki wanita dari Brazil, Juliana Marins, yang ditemui maut di kawasan Danau Segara Anak pada awal Julai lalu.

Ketika itu, Juliana dilaporkan hilang selama dua hari sebelum mayatnya ditemukan dalam keadaan terapung oleh pasukan pencari.

Dalam kejadian berasingan, seorang pendaki lelaki warga Malaysia turut mengalami kecederaan parah selepas tergelincir di laluan curam berhampiran puncak Rinjani baru-baru ini. 

Mangsa berjaya diselamatkan menerusi operasi penyelamatan yang turut membabitkan bantuan udara.

Siri kejadian itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penggemar aktiviti pendakian, sekali gus memperlihatkan pentingnya aspek keselamatan, pemantauan cuaca, dan kepakaran pemandu tempatan dalam setiap misi ke puncak gunung berisiko tinggi seperti Rinjani. — Agensi 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram