
AKTIVITI memancing sememangnya cukup digemari orang ramai kerana ia dapat mengurangkan tekanan dengan setiap minit diluangkan sama ada seorang diri mahupun bersama rakan amat berharga.
Namun, di sebalik hobi cukup terkenal itu, banyak juga bahaya menanti, lebih-lebih lagi bagi mereka yang membuat aktiviti tersebut di kawasan seperti bekas lombong dan sungai.
Ini kerana selain berdepan risiko arus air deras, kemungkinan didatangi binatang buas di darat mahupun di dalam air cukup tinggi meskipun sudah cukup berhati-hati.
BACA LAGI: Dua terselamat, 2 lagi masih hilang lepas masuk hutan di Lahad Datu
BACA LAGI: Tak pulang rumah sejak Khamis, 4 hilang lepas masuk hutan di Lahad Datu
Video pendek berdurasi seminit 30 saat dikongsikan di laman TikTok Azman Bing baru-baru ini sesuai untuk menceritakan perkara itu apabila seorang kaki pancing berdepan detik cemas.
Klip tersebut memaparkan lelaki tersebut berada di tebing sungai sekitar Felda Sahabat 16, Lahad Datu, Sabah sedang memancing seorang diri menggunakan taktik 'casting', iaitu menarik umpan secara perlahan-lahan tidak lama selepas ia dilepaskan.
Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, individu berkenaan berdepan detik cemas apabila seekor buaya cuba menyambar kaki kirinya, tetapi tindakan pantasnya mengelak situasi lebih buruk berlaku.
Melihat kepada rakaman terbabit, sang bedal itu tidaklah begitu besar, namun ia masih boleh mengheret peminat aktiviti memancing itu ke dalam air sekiranya lambat bertindak.
Video berkenaan kemudiannya dikongsikan pelbagai platform media sosial lain, termasuk The Malaysian Update di Facebook dengan menyatakan video tersebut sememangnya mencemaskan.
"Peringatan untuk yang suka memancing di sungai, gurauan buaya ni bukan biasa-biasa. Sekali dengan min pun boleh terundur ke belakang," tulisnya.
Kebelakangan ini, pelbagai media melaporkan serangan buaya semakin kerap berlaku dalam negara dengan mayat mangsa hanya akan ditemukan beberapa hari selepas operasi pencarian.
Kes sebegitu sepatutnya membawa kesedaran kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti sekitar kawasan sungai kerana haiwan pemangsa itu cukup pantas bertindak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram