
SEORANG remaja lelaki berusia 15 tahun yang terjatuh ke dalam Sungai Kuantan berhampiran Jalan Indera Mahkota 15/7, Bandar Indera Mahkota, Kuantan, Pahang ketika menangkap ikan pada Selasa (8 Julai) ditemui mati lemas pada tengah hari Rabu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohd Adli Mat Daud dalam satu kenyataan berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui mayat mangsa pada pukul 12.40 tengah hari, kira-kira satu kilometer dari tempat dia dipercayai tergelincir.
Operasi mencari dan menyelemat (SAR) melibatkan anggota agensi berkaitan termasuk bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Marin serta orang awam.
BACA LAGI: Lelaki hilang ketika memancing di Kinabatangan dikhuatiri jadi mangsa serangan buaya
BACA LAGI: [VIDEO] Jabatan Hidupan Liar tembak mati buaya sepanjang 1.2 meter berkeliaran di Pantai Tanjung Aru
Mohd Adli berkata, mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk pengecaman dan bedah siasat.
Sebelum ini, laporan media melaporkan mangsa iaitu Mohamad Isyraf Danish Ramzi dipercayai turun ke gigi sungai untuk menarik semula tali pancing yang tersangkut sebelum hilang daripada pandangan tiga rakannya.
Katanya, polis menerima laporan berhubung insiden tersebut pukul 7.30 malam dan segera melancarkan operasi SAR bersama JBPM serta APM.
"Pos Kawalan Tempat Kejadian (SCP) sudah ditubuhkan di lokasi tersebut dan operasi SAR sedang dijalankan. Operasi melibatkan seorang pegawai dan 10 anggota dari Ibu Pejabat Polis Kuantan serta dua pegawai dan lapan anggota dari JBPM," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mohd Adli turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mendekati lokasi kejadian bagi menjamin keselamatan dan kelancaran operasi SAR.
Dalam beberapa video dimuat naik di media sosial, kelihatan pihak berkuasa berada di kawasan insiden dengan pintu masuk ke arah gigi sungai sudah ditutup bagi menghalang orang ramai daripada memasuki lokasi terbabit.
Malah, berdasarkan perkongsian di media sosial, terdapat kemungkinan mangsa dibaham buaya yang kerap kelihatan di sungai tersebut.
Namun, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menolak spekulasi kes remaja lelaki yang hilang ketika memancing di Sungai Kuantan berhampiran Sekolah Kebangsaan Sungai Talam petang semalam mempunyai kaitan dengan buaya.
Pengarahnya, Mohd Razam Taja Rahim berkata, setakat ini tiada bukti kukuh berkaitan reptilia terbabit dalam kes lemas itu, lapor Buletin TV3.
“Jangan buat sebarang spekulasi yang mungkin boleh menyebabkan keadaan yang lebih panik dan tidak selesa kepada ahli keluarga mangsa.
“Kita kena ambil sentimen perasaan keluarga dan juga keselamatan penduduk di sekitar kawasan ini,” katanya ketika ditemui media pada Rabu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram