
SEORANG wanita maut, manakala 13 yang lain dilaporkan cedera parah selepas trak pikap yang mereka naiki terjunam ke dalam gaung sedalam 15 meter di Ladang Permai, Lahad Datu, Sabah awal pagi Rabu.
Difahamkan, kemalangan berlaku sekitar pukul 5.30 pagi ketika kumpulan yang terdiri daripada penumpang lelaki dan wanita sedang dalam perjalanan ke tempat kerja.
Beberapa daripada mereka dipercayai berada di cargo bed apabila pemandu kehilangan kawalan sebelum kenderaan itu terjunam ke dalam gaung.
BACA LAGI: [VIDEO] Perahu ada kesan gigitan, nelayan ditemukan maut disyaki dibaham buaya di Sandakan
BACA LAGI: Ugut samun rompak dalam tempoh 5 jam sekitar Alor Gajah, lelaki 'lalok' akhirnya dicekup
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Sumsoa Rashid memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.53 pagi dan tiba di lokasi kejadian pada pukul 6.08 pagi.
“Mangsa membabitkan tujuh lelaki dewasa, tujuh wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki dan kesemuanya dibantu keluar dari kenderaan oleh orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, pasukan bomba tiba di lokasi kejadian dan segera membawa mangsa ke bahu jalan untuk memudahkan mereka mendapatkan rawatan perubatan.
Namun, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tempat kejadian mengesahkan kematian seorang wanita berusia 33 tahun dan mayat beliau kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Seramai 13 mangsa lain mengalami kecederaan dan telah dibawa ke hospital menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut,” tambahnya.
Sumsoa turut menjelaskan bahawa pemandu pikap itu terselamat tanpa sebarang kecederaan dan siasatan mengenai punca kemalangan sedang dijalankan. — The Star/STEPHANIE LEE
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram