
SEORANG penunggang motosikal cedera selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya melibatkan Yamaha Y-15ZR ditunggangnya dengan sebuah kereta peronda polis yang diparkir tepi jalan sekitar Kilometer (KM) 37.2 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Kulai, Johor.
Ketua Polis Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, insiden dipercayai berlaku kira-kira pukul 4.07 petang pada Isnin apabila kenderaan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhenti di laluan kecemasan bagi menyiasat sebuah van.
"Motosikal dipandu seorang lelaki tempatan itu sedang cuba memotong kenderaan lain menggunakan laluan sebelah kiri apabila dia secara tiba-tiba dia memasuki laluan kecemasan.
BACA LAGI: [VIDEO] ‘Barang panas mat’, Yamaha 125ZR kena rembat dekat Jalan Bukit Bintang
BACA LAGI: Tak sempat elak kereta, penunggang Yamaha 125ZR maut di Gua Musang
"Dia kemudiannya melanggar belakang kereta peronda tersebut. Impak daripada pelanggaran itu menyaksikan penunggang motosikal tersebut hilang kawalan dan terbabas di tengah lebuh raya," katanya dalam satu kenyataan.
Tan turut berkata, insiden tersebut menyaksikan tangan kanan penunggang tersebut patah dan sudah dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di Kulai untuk rawatan lanjut.
"Pemandu kereta polis itu tidak mengalami sebarang kecederaan," jelasnya lagi sambil turut menyatakan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu secara cuai.
Dalam video tular sejak Isnin, kelihatan individu terbaring di atas lebuh raya dipercayai selepas kemalangan dengan dua anggota polis kelihatan berhampiran.
Turut kelihatan dalam klip berdurasi 30 saat itu ialah kereta peronda yang mengalami kerosakan di belakangnya serta sebuah van putih yang kedua-duanya diparkir di bahu jalan.
Tan turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan tersebut untuk menghubungi pihak polis atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Kulai bagi membantu siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram