
SIKAP sambil lewa segelintir ibu bapa dalam mengawal pola pemakanan anak-anak boleh menjadi antara faktor kepada peningkatan risiko obesiti.
Menerusi video tular di media sosial sejak Selasa, seorang jurulatih kecergasan meluahkan kebimbangannya selepas melihat cara personaliti cilik yang dikenali sebagai Bang Aji makan bersama keluarganya.
Bang Aji atau nama sebenarnya, Muhammad Aniq dilihat sangat berselera ketika menjamu juadah lembu korban.
BACA LAGI: [VIDEO] Dari plastik terbuang ke beg unnik, wanita Meru bijak kaut untung hanya gunakan kreativiti
Kanak-kanak berusia tiga tahun itu juga sebelum ini terkenal dengan saiz badannya yang gempal.
Keadaan itu sekali gus menimbulkan persoalan kepada orang ramai tentang risiko obesiti atau berat badan berlebihan yang dialami oleh Bang Aji.
"Aku nak tanya satu soalan kepada ayah dia. Kau tak kesian keadaan badan anak kau macam ini?.
"Aku cakap dari seorang ayah. Aku tak akan terima keadaan badan anak aku seperti ini," katanya sambil merujuk kepada keadaan fizikal kanak-kanak terbabit yang dilihat sukar bergerak dan bernafas.
Jelasnya, ibu bapa tidak seharusnya menuruti kehendak anak secara membuta tuli, terutama apabila melibatkan makanan tidak sihat atau berlebihan.
"Jangan ikut anak. Bila anak minta makanan tidak sihat atau terlebih makan, jangan ikut.
"Mereka tak tahu, hanya nak makan," katanya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa tanggungjawab menjaga kesihatan anak bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa.
"Bila anak obes, jangan salahkan anak. Salahkan diri sebab kau yang bertanggungjawab.
"Kau sebagai ayah, sebagai mak, perlu jaga keadaan kesihatan anak kau," tegasnya.
Tambahnya, tanpa penjagaan kesihatan yang tepat sejak kecil, anak-anak berisiko tinggi mendapat pelbagai penyakit pada masa akan datang.
"Bila anak kau dapat penyakit, kau akan menyesal. Tengok keadaan dia. Memang teruk.
"Kesian dia. Susah nak jalan, susah nak bernafas, susah nak main. Dia masih budak lagi," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram