
PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (PERKESO) memberi amaran mengenai peningkatan mendadak dalam kalangan pekerja muda, khususnya mereka yang berusia sekitar 30-an, yang mengemukakan tuntutan kesihatan akibat penyakit tidak berjangkit (NCD).
Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, semakin ramai golongan muda terjejas dari segi kesihatan dan ekonomi akibat NCD, termasuk penyakit seperti diabetes, strok dan masalah jantung.
“Purata umur pekerja yang terkesan oleh NCD semakin menurun.
“Bilangan pekerja berusia 30-an yang memohon faedah PERKESO melonjak sebanyak 107 peratus dalam tempoh sedekad, daripada 260 kes pada tahun 2014 kepada 537 kes pada tahun 2024,” katanya.
BACA LAGI: Bukan laluan Selangor saja berliku, Harimau Selatan juga perlu waspada 'jerat' kelab Singapura
BACA LAGI: Zii Jia hanya minat seni, bukan isyarat lain — Ketua Pengarah MSN
Beliau turut mengingatkan bahawa peningkatan itu membuktikan bahawa ancaman NCD bukan lagi tertumpu kepada golongan berusia, sebaliknya kini semakin serius dalam kalangan tenaga kerja muda negara.
“Corak yang sama turut dilihat dalam penyakit-penyakit kronik seperti strok, diabetes dan penyakit jantung,” katanya dalam satu temu bual bersama Sunday Star.
Pada masa sama, beliau memberi amaran bahawa jumlah pekerja muda yang terkesan oleh NCD akan terus meningkat sekiranya tiada perubahan ketara dalam gaya hidup mereka.
Katanya, penemuan daripada Program Saringan Kesihatan (HSP) PERKESO turut membimbangkan, yang mana 60 peratus daripada mereka yang disaring dikenal pasti mengalami berat badan berlebihan atau obesiti, 60 peratus menghidap hiperkolesterolemia, manakala 19 peratus menghidap diabetes dan 19 peratus lagi mempunyai tekanan darah tinggi.
Tambah beliau, tiga peratus daripada pekerja yang disaring turut dikesan menghidap penyakit buah pinggang kronik, salah satu komplikasi serius akibat NCD.
Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Setiap tahun, sekitar 230,000 pekerja layak menyertai HSP apabila mencapai usia 40 tahun, namun hanya 18 peratus yang mengambil peluang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, PERKESO menerima lebih 40,000 permohonan hilang upaya setiap tahun, dengan hampir separuh daripadanya berpunca daripada komplikasi NCD.
Malah, jumlah pemohon berusia bawah 50 tahun yang mendakwa hilang upaya sepenuhnya juga menunjukkan trend peningkatan.
“Data ini jelas menunjukkan beban kesihatan akibat penyakit gaya hidup kini tidak lagi terbatas kepada warga emas, malah turut menjejaskan golongan lebih muda,” katanya.
Beliau menyeru semua pihak termasuk kerajaan, sektor swasta, institusi pengajian tinggi dan masyarakat sivil untuk bekerjasama dalam memupuk gaya hidup sihat yang menyokong kesejahteraan fizikal dan mental rakyat.
Mengulas langkah intervensi, Dr Mohammed Azman memaklumkan bahawa PERKESO merancang untuk memperluas program saringan kesihatan sedia ada kepada bentuk yang lebih menyeluruh, termasuk pengesanan awal pelbagai penyakit kronik. Program baharu itu dijangka dilancarkan secara berperingkat mulai akhir tahun ini.
Dr Mohammed Azman memberi amaran bahawa jumlah pekerja muda yang terkesan oleh NCD akan terus meningkat sekiranya tiada perubahan ketara dalam gaya hidup mereka.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif Belanjawan Madani, PERKESO turut menambah pelbagai ujian saringan, termasuk kanser, ke dalam HSP, langkah yang berjaya meningkatkan kadar penyertaan hampir lima kali ganda dalam tempoh setahun.
Kini, HSP turut merangkumi ujian pengesanan diabetes dan saringan khusus seperti virus papilloma manusia (HPV), serta dibuka kepada golongan muda berusia 18 tahun ke atas melalui kempen lapangan.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman menegaskan bahawa tenaga kerja masa hadapan perlu bukan sahaja berkemahiran tinggi, tetapi juga memiliki ketahanan fizikal, mental dan sosial.
“Kesihatan yang lemah dalam kalangan graduan akan memberi kesan langsung kepada produktiviti, kos rawatan yang tinggi serta peningkatan kadar ketidakhadiran kerja.
“Justeru, promosi kesihatan wajar dijadikan sebahagian daripada strategi pembangunan kebolehpasaran dan tenaga kerja negara,” katanya. — The Star/ROWENACHUA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram