[VIDEO] Kegagalan gear ketika mendarat punca pesawat TUDM tergelincir di KIA


  • Tular
  • Isnin, 23 Jun 2025

Tangkap layar video pesawat TUDM terkandas di KIA pada Isnin.

LANDASAN di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), Kuching, Sarawak ditutup sementara sehingga pukul 3 petang Isnin bagi memberi ruang kepada operasi membawa keluar sebuah pesawat yang terkandas di kawasan berkenaan.

Malaysia Airports dalam satu kenyataan mengesahkan insiden tersebut melibatkan sebuah pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), jenis CN-235, yang dilaporkan terkandas di landasan pagi Isnin.

Sehubungan itu, Notis kepada Anggota Udara (NOTAM) telah dikeluarkan, sekaligus menyebabkan semua operasi penerbangan di lapangan terbang tersebut tergendala buat sementara waktu.

BACA LAGI: [VIDEO] Pesawat 'bunker' Trump dikesan aktif, cetus amaran tercetus perang nuklear

BACA LAGI: Keselamatan anak terjamin, ibu kongsi tip jenis 'car seat' boleh bawa naik kabin pesawat

“Satu Notice to Airmen NOTAM telah dikeluarkan dan landasan akan ditutup sehingga pukul 3 petang hari ini (Isnin).

“Semasa penutupan ini, semua operasi penerbangan di KIA akan terjejas. Penumpang dinasihatkan untuk menyemak semula jadual dengan syarikat penerbangan masing-masing.

“KIA akan memaklumkan perkembangan lanjut dari masa ke semasa apabila landasan tersebut sudah diisytiharkan selamat dan dibuka untuk operasi penerbangan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” katanya.

Dalam pada itu, TUDM mengesahkan bahawa kegagalan gear pendaratan hadapan ketika mendarat menjadi punca insiden kemalangan pesawat CN235-220M di KIA. 

TUDM dalam kenyataan berkata, kejadian berlaku pada pukul 11.15 pagi membabitkan pesawat dari No 1 Skuadron yang berlepas dari Pangkalan Udara Kuching.

"Kesemua anak kapal serta penumpang selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Ketika kejadian, pesawat melakukan pendaratan selepas melaksanakan tugasan penerbangan logistik daripada Labuan ke Kota Kinabalu," katanya pada Isnin. 

TUDM berkata, pihaknya akan menubuhkan sebuah lembaga siasatan bagi mengenalpasti punca kegagalan sehingga menyebabkan kemalangan itu berlaku. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram