
WARISAN budaya Sarawak menjadi tumpuan antarabangsa apabila bekas Miss Earth Malaysia 2021, Dr. Nisha Thayananthan tampil anggun di karpet merah Festival Filem Cannes dalam persalinan gaun songket diinspirasikan daripada masyarakat Melanau.
Ini merupakan kali ketiga beliau menghadiri acara berprestij di Perancis, namun penampilannya kali ini lebih istimewa apabila memilih untuk mengangkat identiti Malaysia melalui fesyen.
Gaun berwarna hitam dan emas digayakan dihiasi 999 batu kristal Swarovski serta mengangkat elemen tiang jerunai yang menjadi lambang agung masyarakat bangsawan Melanau suatu ketika dahulu.
"Gaun ini diilhamkan daripada jerunai, simbol kuasa dan kedudukan tinggi dalam budaya Melanau.
"Setiap perincian melambangkan kehalusan seni dan kekayaan sejarah masyarakat ini,” kata Dr Nisha.
BACA LAGI: [VIDEO] Supermodel Britain turun Malaysia demi misi selamatkan harimau Malaya daripada terus pupus
Busana eksklusif itu direka oleh pereka fesyen tempatan, Rozie Khan dan mengambil masa hampir setahun untuk disiapkan.
Ia turut menampilkan elemen songket tradisional sehingga menjadikan Dr. Nisha wanita pertama yang memakai songket di karpet merah Cannes.
"Saya sangat bangga dapat memperkenalkan budaya Malaysia khususnya Melanau di pentas dunia.
"Ramai bertanya tentang pakaian ini dan tertarik dengan kisah di sebaliknya. Mereka kagum dan ingin tahu lebih lanjut,” katanya lagi.
Dr. Nisha, yang kini bertugas sebagai pegawai perubatan pelatih dalam bidang pembedahan plastik di Dublin, Ireland berkata, penampilannya bukan hanya untuk bergaya, tetapi sebagai usaha memperkenalkan budaya Malaysia kepada dunia.
Melanau atau dikenali juga sebagai A-Likou (bermaksud ‘Orang Sungai’ dalam dialek Mukah) merupakan kumpulan etnik pribumi di Sarawak.
Mereka antara penduduk terawal di Borneo dan terkenal dengan budaya dan adat resam kaya termasuk tradisi jerunai yang masih dapat dilihat di kawasan seperti Mukah, Dalat dan Belaga.
"Bagi saya, fesyen boleh menjadi jambatan budaya. Ia bukan sekadar pakaian tetapi satu cara untuk memperkenalkan sejarah dan identiti kita.
"Ini juga bertepatan dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini,” tambahnya.
Dr. Nisha percaya bahawa dengan mengangkat budaya dalam industri kreatif, Malaysia boleh memainkan peranan besar dalam memupuk persefahaman dan kerjasama budaya di peringkat serantau dan global.
Penampilan beliau di Cannes bukan sekadar mencuri perhatian, malah membuka ruang kepada dunia untuk lebih mengenali warisan unik Malaysia khususnya dari Borneo. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram