Pasangan kekasih didakwa subahat, bunuh penuntut universiti di Cyberjaya


  • Kes
  • Khamis, 10 Jul 2025

Sri Darvien (kiri) dan Thineswary tiba di Mahkamah Sepang pada Khamis atas pertuduhan bersubahat dan membunuh Maniishapriet.

SEPASANG kekasih didakwa atas tuduhan bersubahat dan membunuh seorang penuntut universiti di Cyberjaya, Maniishapriet Kaur Akhara pada hujung Jun lalu.

M. Sri Darvien dan D. Thineswary yang kedua-duanya berusia 19 tahun tiba di Mahkamah Majistret Sepang pada Selasa untuk dihadapkan ke mahkamah.

Penganggur, Sri Darvien dituduh membunuh Maniishapriet di sebuah kondominium sekitar Cyberjaya antara pukul 9.11 malam dan 11.31 malam pada 23 Jun lalu.

BACA LAGI: Remaja OKU dituduh bunuh warga emas guna cota tepi kedai runcit di Tanah Merah

BACA LAGI: Kes ugut bunuh, kurung lelaki: Bella, tujuh rakan tukar pengakuan 

Maniishapriet Kaur ditemukan meninggal dunia di sebuah kondominium sekitar Cyberjaya hujung Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman mati atau penjara antara 30 dan 40 tahun dan boleh disebat sekiranya didapati bersalah.

Sementara itu, kekasihnya, Thineswary didakwa bersubahat dalam jenayah tersebut dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 Kanun sama.

Kedua-duanya hanya mengangguk ketika pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani, namun tiada rayuan direkodkan kerana kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 11 September depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen bedah siasat dan laporan kimia.

Penemuan mayat mangsa membawa kepada penahanan empat individu, termasuk teman lelaki kepada rakan serumah si mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin manakala Darvien diwakili peguam M Manoharan dan peguam Abu Bakar Isa Ramat mewakili Thineswary.

Sebelum ini, penuntut ijazah sarjana muda fisioterapi berasal dari Sarawak itu ditemukan mati di sebuah unit kondominium di Cyberjaya pada pukul 10 pagi, 24 Jun lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, penahanan empat individu termasuk suspek utama iaitu teman lelaki kepada rakan serumah mangsa menyelesaikan kes itu dalam tempoh 48 jam.

Mangsa dilaporkan tinggal seorang diri selepas lima rakan serumahnya pulang bercuti sejak 21 Jun. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram