
SEMPENA Hari Bumi Sedunia 2025, 10 usahawan wanita bakal mengendalikan pusat kutipan e-waste di sekitar Lembah Klang dan Johor Bharu melalui program baharu MADCash x ERTH Mini Hub.
Inisiatif tersebut bertujuan mengumpul sekurang-kurangnya 5,000 kilogram (kg) sisa elektronik dalam tempoh 12 bulan, di samping menyediakan peluang pendapatan kepada golongan wanita.
Projek itu adalah hasil kerjasama antara MADCash Sdn Bhd, sebuah syarikat teknologi kewangan dari Kuala Lumpur yang membantu wanita melalui pembiayaan mikro dan sebuah syarikat kitar semula e-waste yang berpusat di Cyberjaya, Electronic Recycling Through Heroes (ERTH).
BACA LAGI: Tidak hanya tentang jenama, pilihan penampilan strategi keyakinan diri
Setiap peserta akan menerima dana sebanyak RM5,000 dalam bentuk pinjaman. Mereka akan diberikan pinjaman permulaan sebanyak RM500 untuk memulakan pengumpulan e-waste.
Pengasas MADCash, Nuraizah Shamsul Baharin berkata, kerjasama itu selari dengan misi mereka untuk mewujudkan peluang hidup lestari untuk wanita.
"Dengan menggabungkan keusahawanan hijau dalam model kami, kami bukan sahaja membantu wanita dari segi kewangan, tetapi juga membentuk generasi pemimpin perniagaan yang lebih peka terhadap alam sekitar," katanya.
Sementara itu, pengasas ERTH, Mohamed Tarek El-Fatatry menambah, isu berkaitan sisa elektronik memerlukan penyelesaian yang digerakkan oleh komuniti.
"Melalui kerjasama ini, kami mengubah wanita menjadi wira alam sekitar dengan membuktikan bahawa tindakan kecil boleh membawa perubahan besar," ujar beliau.
Program tersebut direka bagi menggalakkan keusahawanan hijau, membina perniagaan mikro mesra alam dalam kalangan komuniti wanita dan meningkatkan kesedaran tentang penjagaan alam sekitar.
MADCash dan ERTH akan menilai perkembangan projek itu dari semasa ke semasa untuk menentukan sama ada ia boleh diperluaskan ke kawasan lain.
Dalam kenyataan rasmi, MADCash menyatakan bahawa sisa elektronik kini menjadi isu alam sekitar yang semakin serius kerana pembuangan tidak terkawal boleh menyebabkan pencemaran dan risiko kesihatan.
Dengan melibatkan wanita sebagai ejen kutipan e-waste, projek tersebut berjaya menangani dua isu utama melibatkan pengurusan sisa elektronik dan memperkasa ekonomi wanita.
MADCash kini sedang memilih 10 peserta dan merancang untuk memulakan program berkenaan selewat-lewatnya 5 Mei.
Peserta akan menerima latihan dan sumber yang diperlukan untuk mengendalikan mini hub mereka dengan berkesan.
Kejayaan program tersebut akan dinilai berdasarkan jumlah sisa elektronik yang dikumpul dan pertumbuhan pendapatan peserta.
Jika terbukti berkesan, model itu berpotensi untuk dikembangkan ke seluruh negara.
Orang ramai turut digalakkan menyokong inisiatif tersebut dengan mendermakan sisa elektronik seperti telefon lama, komputer riba dan kabel di pusat kutipan yang ditetapkan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram