KL 'terbang' ke Singapura, doktor tempatan ditawarkan gaji cecah hampir setengah juta ringgit setahun


  • Massa
  • Rabu, 09 Jul 2025

MOH Singapura dilaporkan akan mengadakan sesi temuduga terbuka di Traders Hotel KLCC pada Ogos.

KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) Singapura dilaporkan akan mengadakan sesi temuduga terbuka di Traders Hotel KLCC, Kuala Lumpur untuk merekrut doktor dan pengamal perubatan am (GP) dari Malaysia.

Menerusi satu perkongsian di platform Threads oleh pengguna Zaidzaideljamil memaklumkan bahawa gaji yang ditawarkan kepada calon terpilih mencecah RM385,000 setahun atau SG$110,000 tidak termasuk elaun, insurans dan faedah lain.

Berdasarkan iklan yang dikongsikan oleh pengguna Threads itu, sesi temuduga terbuka itu akan diadakan pada Ogos ini dengan dua jawatan ditawarkan iaitu pegawai perubatan dan kakitangan klinik. 

BACA LAGI: [VIDEO] Nahas Senawang: Pemandu Proton Satria direman, negatif dadah — Polis

BACA LAGI: [VIDEO] Polis kesan wanita cantik didakwa curi telefon di Cheras

Seorang lagi pengguna akaun lain iaitu @dr_amandaelli juga berkongsi mengenai sesi pengambilan tersebut dengan menyifatkan ia merupakan satu peluang yang baik untuk pengamal perubatan tanah air. 

“MOH Singapura datang terus ke Hotel Traders KLCC untuk menemu duga pengamal perubatan/doktor kita yang berminat bekerja di luar negara.

“Peluang yang sangat baik untuk mengumpul simpanan sekurang-kurangnya selama dua tahun sebelum pulang semula ke Malaysia jika rindu kampung halaman,” tulisnya dalam hantaran tersebut.

Tangkap layar hantaran mengenai temuduga itu.

Difahamkan, iklan pengambilan berkenaan terbuka kepada semua doktor serta graduan lepasan ijazah dalam bidang perubatan dari Malaysia dengan tawaran dua jawatan utama iaitu Pegawai Perubatan dan Pembantu Klinikal.

Reaksi dalam kalangan warga maya, khususnya golongan profesional kesihatan menunjukkan minat yang tinggi terhadap peluang ini, di tengah-tengah isu gaji rendah dan tekanan kerja dalam sektor perubatan awam di Malaysia.

Dengan tawaran lumayan itu, jangan terkejut berlaku perkembangan mencerminkan trend penghijrahan tenaga profesional kesihatan Malaysia ke luar negara bagi mencari peluang kerja yang lebih baik, terutama dari segi ganjaran kewangan dan suasana kerja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram