Isu paparan graf aplikasi myTNB kembali berfungsi, tak jejas bil Julai pelanggan


  • Massa
  • Rabu, 09 Jul 2025

TNB memberi jaminan bahawa isu berkenaan tidak menjejaskan bacaan meter sebenar atau bil muktamad pelanggan bagi Julai. — Gambar hiasan

TENAGA Nasional Berhad (TNB) memaklumkan bahawa isu teknikal melibatkan paparan graf penggunaan elektrik (kWh) bagi bulan Julai di aplikasi myTNB berjaya diselesaikan sepenuhnya.

Dalam satu kenyataan di Facebook pada Rabu, TNB menjelaskan bahawa paparan graf penggunaan harian dan bulanan kini kembali berfungsi seperti biasa selepas proses pembetulan sistem dijalankan.

“Paparan graf kini pulih sepenuhnya. Kami akan terus memantau prestasi sistem bagi memastikan pengalaman pengguna yang lancar dan selamat,” jelas kenyataan itu.

BACA LAGI: Bil elektrik Julai mencanak, TNB sahkan terdapat ralat, graf kurang tepat buat sementara waktu

BACA LAGI: [VIDEO] Seharian tak pulang, petani 61 tahun rupanya ditelan ular sawa di Buton Selatan

 Terdapat kesilapan teknikal yang berlaku sehingga mengganggu bacaan baru-baru ini.  — Gambar hiasan

TNB turut memberi jaminan bahawa isu teknikal tersebut tidak menjejaskan bacaan meter sebenar mahupun bil muktamad pelanggan bagi bulan Julai. 

“Isu ini hanyalah berkaitan paparan visual dalam aplikasi dan tidak memberi kesan terhadap kiraan sebenar penggunaan elektrik," tambahnya.

Syarikat utiliti berkenaan turut memohon maaf atas sebarang kekeliruan yang mungkin timbul, sambil menghargai kesabaran para pelanggan sepanjang proses penambahbaikan dijalankan.

TNB menegaskan komitmen mereka untuk terus menambah baik sistem digital demi kemudahan dan keyakinan pelanggan dalam pengurusan penggunaan tenaga.

Selain itu, TNB turut menasihati pelanggannya untuk mengajukan pertanyaan dengan menghubungi TNB melalui pesanan peribadi (PM) ke akaun Facebook TNB Careline; hubungi terus (DM) ke X @Tenaga_Nasional; hantaran emel kepada [email protected] atau menghubungi talian 1300-88-5454.

Pada Selasa, TNB memaklumkan isu teknikal menjadi punca wujud kesilapan yang menyebabkan paparan graf penggunaan elektrik pada bulan ini tidak tepat. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram