Armada tegas pertahan Muhyiddin sebagai Presiden, dakwa usul Port Dickson cari publisiti murahan


  • Massa
  • Isnin, 07 Jul 2025

Armada menegaskan sokongan penuh kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden parti. — Facebook

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Port Dickson mencetuskan perdebatan apabila sebulat suara meluluskan usul agar pelan peralihan kuasa dilaksanakan dalam parti, mencadangkan Datuk Seri Hamzah Zainudin mengambil alih peranan Presiden, sementara Tan Sri Muhyiddin Yassin diberi peranan sebagai penasihat parti. 

Usul berkenaan yang dibawa oleh Cawangan Kampung Bagan Pinang semasa Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian pada 6 Julai, menyatakan keperluan untuk memastikan parti lebih proaktif dalam menangani isu rakyat serta memperkukuh peranan Hamzah selaku Ketua Pembangkang.

Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Port Dickson, Akkil Aizat Othman berkata, cadangan itu tidak bertujuan mengenepikan Muhyiddin, sebaliknya mengiktiraf peranannya dalam memimpin parti dan negara.

BACA LAGI: [VIDEO] Khalid Jamlus tak dapat tidur, terbayang momen arwah Firos hembuskan nafas terakhir

BACA LAGI: Semua pihak harus bersabar, faham keputusan Lee Zii Jia tarik diri Terbuka Jepun

Ketua Penerangan Armada, Harris Idaham Rashid. — Facebook

“Tan Sri Muhyiddin boleh terus memainkan peranan sebagai penasihat. Kami percaya ini waktu yang tepat untuk peralihan kuasa demi memperkemas gerak kerja pembangkang,” katanya dalam satu hantaran Facebook.

Menurutnya lagi, kelemahan dalam menangani isu-isu rakyat oleh kerajaan wajar dimanfaatkan pembangkang, namun setakat ini belum berlaku usaha yang benar-benar agresif daripada Perikatan Nasional atau BERSATU.

Sementara itu, Ketua Bahagian Badrul Hisham Shaharin turut mengesahkan bahawa usul tersebut diluluskan sebulat suara dan menyifatkannya sebagai langkah penting bagi menambah kekuatan politik parti.

Namun, tindakan bahagian itu segera mendapat reaksi balas daripada sayap pemuda parti, Armada BERSATU Malaysia yang menolak usul tersebut secara terbuka.

Ketua Penerangan Armada, Harris Idaham Rashid menegaskan bahawa Tan Sri Muhyiddin kekal sebagai Presiden sah dan masih menerima sokongan tidak berbelah bahagi daripada akar umbi.

“Usul daripada Bahagian Port Dickson tidak mencerminkan suara keseluruhan ahli parti. Ia hanya cubaan untuk meraih publisiti murahan,” tegas beliau dalam kenyataan rasmi pada Isnin.

Menurut Harris, Armada tetap komited mempertahankan institusi Presiden daripada sebarang ancaman dalaman atau luaran, sekali gus memperlihatkan solidariti berterusan terhadap kepimpinan Muhyiddin yang masih sah dan berfungsi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram