
SEORANG petani berusia 61 tahun, La Noti, menemukan ajal selepas ditelan seekor ular sawa sepanjang lima meter ketika berada di kebunnya di Desa Majapahit, Kecamatan Batauga, Kabupaten Buton Selatan, Sulawesi Tenggara.
Menurut laporan detik.com pada Isnin, La Noti dilaporkan hilang sejak petang Jumaat apabila tidak pulang ke rumah selepas pergi ke kebunnya untuk memberi makan ternakan.
Ketua Polis Batauga, Asisten Komisioner Masud Gunawan mengesahkan kejadian tragis tersebut dan berkata, mangsa ditemukan meninggal dunia dalam perut ular sawa yang berjaya ditangkap penduduk pada Sabtu sekitar pukul 3.40 petang (waktu tempatan).
BACA LAGI: [VIDEO] Khalid Jamlus tak dapat tidur, terbayang momen arwah Firos hembuskan nafas terakhir
“Ya, betul kejadian itu berlaku. Ular sawa tersebut ditemukan penduduk pada petang tadi (Sabtu),” ujar Masud.
Tambah Masud, sebelum kejadian, La Noti sempat mengucapkan selamat tinggal dan memberitahu keluarganya dia akan ke kebun untuk memberi makan ternakannya tetapi tidak kembali sehingga malam.
Disebabkan kebimbangan, penduduk setempat mula mencari La Noti dan menemui ular sawa tersebut yang perutnya membuncit dan tidak bergerak tidak jauh dari lokasi kebun.
“Penduduk mencurigai ular sawa itu telah menelan mangsa. Setelah ular itu dibelah, mayat La Noti ditemui di dalam perutnya,” tambah Masud.
Ular sawa tersebut dianggarkan panjang antara empat hingga lima meter. Mayat mangsa kemudian dipindahkan ke rumah keluarganya dan dikebumikan pada hari yang sama. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram