Wanita Sibu 'hero dalam senyap', bertindak pantas derma darah jenis jarang ditemui demi selamatkan nyawa


  • Massa
  • Selasa, 08 Jul 2025

Tindakan mulia Adeline (kiri) menderma darahnya dapat menyelamatkan nyawa seorang pesakit di Sarawak. — Facebook Bank Darah Sibu

SEORANG wanita Sarawak yang memiliki darah jenis jarang ditemui, memainkan peranan penting dalam menyelamatkan nyawa seorang pesakit di Hospital Sibu, baru-baru ini.

Penderma darah tersebut, Adeline Asong Liang Ching Foong yang berasal dari Sibu, kini dihargai oleh pihak hospital atas pengorbanan dan sumbangan yang diberikannya.

Kisah inspirasi itu bermula apabila pihak hospital menghebahkan keperluan segera untuk mencari darah jenis Jk-Null yang hanya boleh ditemukan kurang daripada 0.9 peratus populasi Asia.

BACA LAGI: Pembuluh darah kepala pecah, suri rumah stres 24 jam jaga anak kini berjuang nyawa di ICU

BACA LAGI: [VIDEO] Gara-gara beban kerja berlebihan memakan diri, Wani Kayrie reda sambut raya di hospital

Lebih merumitkan keadaan, pesakit yang tidak didedahkan namanya itu didapati mempunyai antibodi Anti-Jk3, yang hanya sesuai menggunakan darah yang didermakan jenis Jk-Null.

Menurut satu hantaran Facebook Bank Darah Hospital Sibu pada 23 Jun lalu, fenotip darah Jk-Null merupakan antara jenis darah yang sangat jarang jumpa dan sukar diperoleh, khususnya di Malaysia.

"Menyedari betapa kritikalnya keadaan ini, pihak kami di Bank Darah segera menggerakkan usaha pencarian darah yang sesuai, bermula dari Kuching hingga ke Pulau Pinang, Ipoh, dan Pusat Darah Negara, Kuala Lumpur. Alhamdulillah, semua pusat tabung darah yang dihubungi memberikan respons dan kerjasama yang sangat cepat dalam usaha ini.

"Dalam pencarian tersebut, di Sibu kami turut menghubungi beberapa individu yang diketahui memiliki fenotip darah Jk-Null. Salah seorang daripada mereka ialah saudari Adeline Asong Liang Ching Foong.

 

"Dia merupakan satu-satunya penderma yang sesuai dengan darah yang diperlukan oleh pesakit di Hospital Sibu ketika itu," kata kenyataan itu.

Ibarat takdir yang sudah tertulis, Adeline kebetulan dalam perjalanan dari Julau ke Sibu atas urusan peribadi ketika dihubungi pihak hospital dan dia terus bersetuju untuk membantu.

'Dia tanpa ragu-ragu menyatakan kesediaan untuk membantu dan terus menuju ke Hospital Sibu untuk menderma darah.

"Darah yang didermakan telah berjaya diberikan kepada pesakit, dan telah dibenarkan pulang setelah menerima darah dan menunjukkan perkembangan positif.

"Pihak Hospital Sibu dan Bank Darah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada saudari Adeline atas kemurahan hati dan tindakan pantasnya yang telah menyelamatkan nyawa.

"Semoga segala urusannya dan keluarga sentiasa dipermudahkan dan diberkati. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua tabung darah yang telah turut serta dalam misi ini. Komitmen dan kerjasama anda semua amat kami hargai," kata pihak hospital. — The Star/Andy Chua

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram