[VIDEO] Manfaat bahan terpakai, Program Semarak Siswa Madani @ K10 Green Warrior memeriahkan inovasi hijau dalam komuniti


  • Massa
  • Jumaat, 04 Jul 2025

Dua program Semarak Siswa MADANI @ K10 Green Warrior anjuran Majlis Perwakilan Kolej Sepuluh UPM baru-baru ini.

BUKAN sekadar pilihan, menjaga alam sekitar merupakan satu keperluan yang melibatkan tanggungjawab bersama.

Justeru, usaha dalam memupuk kesedaran komuniti terhadap kepentingan kelestarian alam sekitar bermula daripada generasi muda.

Menerusi pendekatan memberi pendidikan secara praktikal, Program Semarak Siswa Madani @ K10 Green Warrior edisi 2.0 dan 3.0 mampu mencapai matlamat yang sama.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Corak tak jadi pun laku', seni batik tanah liat makin memikat hati rakyat Malaysia

BACA LAGI: [VIDEO] Berniaga sambil sedekah, pasang niat infak bakar semangat Norsham jual rempeyek kuaci

Program Siswa Madani edisi 2.0 dan 3.0 dilaksanakan oleh pelajar UPM.

Kedua-dua program yang dianjurkan di bawah inisiatif Sekretariat Kelestarian Hijau dan Keterjaminan Makanan oleh Majlis Perwakilan Kolej Sepuluh di Universiti Putra Malaysia (UPM) berkonsepkan 'Pertanian Untuk Rakyat' menekankan keterjaminan makanan, kelestarian sumber serta penglibatan aktif komuniti.

Pengarah Program Semarak Siswa Madani @ K10 Green Warrior 2.0, Adila Ewani Ahmad Marzuki, 21, berkata, program pertama dilaksanakan di Kuarters Institusi Pendidikan (KIP) Cheras Indah, Kuala Lumpur pada 8 Disember 2024.

Katanya, program tersebut memberi fokus kepada pendedahan komuniti terhadap isu keterjaminan makanan dan inovasi makanan sihat.

Antara pengisian utama program itu adalah sesi senamrobik komuniti, pendedahan tentang penghasilan yogurt berkhasiat dinamakan YoYummy K10 Green serta bengkel membuat baja kompos daripada sisa organik.

Produk yogurt yang dihasilkan oleh tenaga pakar di UPM.

"Kenapa kami pilih yogurt sebab ia antara makanan sihat yang boleh diterima oleh semua peringkat usia, dari kanak-kanak sehingga dewasa.

"Produk YoYummy juga dijadikan sebagai identiti kolej kami dan salah satu produk untuk dibawakan di dua pameran besar iaitu Pameran Keterjaminan Kebangsaan 2025 dan Pameran Antara Kolej.

"Jadi, ini satu titik mula untuk perkenalkan makanan sihat kepada masyarakat kerana ia dihasilkan menggunakan bahan-bahan semula jadi oleh pakar di UPM," katanya kepada Majoriti.

Aktiviti senaman turut dilakukan sepanjang program.

Bukan itu sahaja, Adila bersama rakan seperjuangan pada masa sama mengajar seramai 80 peserta program kaedah pengurusan sisa organik atau makanan yang bebas bahan kimia untuk menghasilkan baja kompos.

Kata Adila, aktiviti seperti melukis dan mewarna sambil mempelajari cara-cara menanam pokok.

Manakala, program kedua pula lebih fokus memberi pendidikan awal tentang pemuliharaan alam sekitar yang menyasarkan golongan kanak-kanak.

Program kedua itu berlangsung di rumah kebajikan BRDB Rotary Children’s Residence, Seri Kembangan, Selangor pada 9 Mei lalu.

Kanak-kanak didedahkan dengan kaedah menguruskan bahan kitar semula seperti plastik.

Pengarah Program Semarak Siswa MADANI @ K10 Green Warrior 3.0, Aghileshwaran Karunagiaran, 23, berkata, ia disemarakkan dengan aktiviti-aktiviti berasaskan kitar semula kreatif.

Antaranya seperti, pembuatan sabun daripada minyak masak terpakai, pembuatan terrarium (taman mini di dalam kaca) menggunakan botol plastik terpakai, dan penghasilan nature lamp daripada bahan semula jadi dan mesra alam.

"Minyak masak itu kami kitar semula dan proses jadi sabun khusus untuk kegunaan luar seperti cuci pakaian atau barang kotor, bukan pada badan.

"Untuk terrarium pula kami beri inisiatif penjimatan di samping kitar semula plastik yang kita dah guna.

"Manakala, natural lamp pula kami gunakan daun kering, tisu dan lampu kecil," katanya sambil menambah bahawa kesemua proses semula jadi itu didedahkan kepada kanak-kanak terbabit.

Penghasilan sabun menggunakan sisa minyak masak turut diajar kepada kanak-kanak.

Pelaksanaan program itu juga sejajar dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Mewakili seluruh mahasiswa dan mahasiswi terlibat, Adila berharap agar peranan mereka dapat memberi impak kepada masyarakat dan alam sekitar.

"Saya harap pelaksanaan program-program kecil seperti ini dipandang tinggi oleh institusi atau pihak lebih besar.

"Mungkin usaha kecil ini boleh bantu negara dan komuniti capai objektif bersama," ucapnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram