
AKSI santai seorang kanak-kanak lelaki yang terlibat dalam acara tradisional Pacu Jalur di Indonesia kini tular di media sosial hingga menjadi trend di aplikasi TikTok dengan ramai pengguna termasuk warga maya di Eropah melakukannya.
Video berdurasi kurang daripada seminit itu memaparkan seorang budak lelaki yang dengan tenang dan penuh gaya berdiri di hujung perahu pacu, sambil menghayati suasana perlumbaan seolah-olah tidak terganggu langsung oleh kekecohan sekitar.
Klip pendek yang menunjukkan budak lelaki berkenaan menari di hadapan bot lumba mencetuskan fenomena global apabila setakat ini video berkenaan mengumpul lebih enam juta tontonan.
BACA LAGI: Tragedi Juliana Marins berulang, lagi kes wanita maut terjatuh gaung di Indonesia
Kanak-kanak itu dipercayai Tukang Tari, atau penari tradisional yang berperanan bukan mendayung tetapi untuk menghiburkan dan memberi motivasi kepada pasukan semasa perlumbaan.
Menjengah aplikasi TikTok, ramai pencipta kandungan sudah mula terjebak dan meniru gaya tariannya. Lebih menarik apabila akaun milik kelab besar di Eropah seperti Paris Saint Germain (PSG) memuat naik video dengan menggunakan trend tersebut.
Untuk info, Pacu Jalur ialah lumba perahu tradisional yang berasal dari Kuantan Singingi, Riau, Indonesia. Ia melibatkan bot panjang yang didayung oleh beberapa orang dan merupakan bahagian penting dalam warisan budaya masyarakat Kuantan Singingi.
Rakaman video tersebut diambil semasa berlangsungnya festival berkenaan di sepanjang Sungai Batang Kuantan, lokasi utama acara berprestij itu menurut laman web pelancongan ASR.
Festival itu bukan sahaja menjadi lambang kekayaan budaya masyarakat tempatan, tetapi juga menarik ribuan pelawat dari seluruh Indonesia serta pelancong antarabangsa setiap tahun.
Dikenali sebagai salah satu festival mendayung tradisional terbesar di Indonesia, Pacu Jalur berakar sejak abad ke-17. Pada asalnya, ia diadakan sebagai sebahagian daripada upacara adat untuk menandakan musim menuai atau perayaan diraja.
Seiring masa, ia berkembang menjadi acara kebudayaan berskala besar yang menggabungkan perlumbaan perahu panjang yang dramatik dengan persembahan seni dan tradisi yang meriah.
Para peserta berlumba dalam perahu sepanjang sehingga 25 meter, yang memerlukan kerjasama sehingga 60 pendayung, menjadikan setiap perlumbaan satu persembahan kekuatan, ketepatan dan semangat pasukan.
Kini, dengan tersebarnya video aksi santai seorang budak lelaki yang menjadi simbol ketenangan di tengah perlumbaan yang sengit, Festival Pacu Jalur semakin dikenali di mata dunia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp