Tragedi Juliana Marins berulang, lagi kes wanita maut terjatuh gaung di Indonesia


  • Benua
  • Rabu, 25 Jun 2025

Semasa menuruni gunung, Jovita dilaporkan terjatuh ke dalam gaung sedalam 50 meter. — Agensi

SEORANG pendaki bernama Jovita Diva Prabudawardani, 21 tahun, meninggal dunia selepas terjatuh dari Puncak Natas Angin di Gunung Muria, Kabupaten Kudus, Jawa Tengah, Indonesia.

Jovita yang baru sahaja menamatkan pengajian di Universiti Muhammadiyah Kudus (UMKU) kini telah dipindahkan untuk proses selanjutnya.

Menurut maklumat yang diperoleh dari detikJateng, Jovita bersama rakan-rakannya tiba di Puncak Natas Angin pada Selasa (24 Jun 2025). Semasa menuruni gunung, Jovita dilaporkan terjatuh ke dalam gaung sedalam 50 meter.

BACA LAGI: Lepas 5 hari usaha menyelamat, Juliana Marins disahkan meninggal dunia lepas terjatuh gaung di Gunung Rinjani

BACA LAGI: [VIDEO] Media sosial Presiden Indonesia 'dibanjiri' rayuan selamatkan wanita Brazil jatuh gaung di Gunung Rinjani

“Kami baru menerima maklumat bahawa mangsa sudah meninggal dunia. Dia sudah ditemukan dan kini dalam proses evakuasi,” kata Ketua Biro Perhubungan Awam dan Penerimaan Pelajar UMKU, Moh Aris Prasetiyanto ketika dihubungi wartawan pada Rabu.

Pihak kampus sudah merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa atas kejadian yang menyedihkan itu. Aris juga menyatakan hasrat untuk mengadakan solat hajat bersama seluruh warga akademik UMKU serta memberi pampasan kepada keluarga Jovita.

“Pihak kampus merakamkan ucapan takziah. Kami akan mengadakan solat hajat bersama seluruh warga akademik UMKU. Sejak semalam (Selasa), kami telah menghantar pasukan pemindahan dan bekerjasama dengan pasukan SAR sehingga hari ini," jelasnya.

 

 

Tambah Aris, Jovita telah diisytiharkan sebagai graduan UMKU dengan Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan dan merupakan alumni yang sedang menyambung pengajian sebagai jururawat di universiti tersebut.

"Kami dari jabatan perhubungan awam mengesahkan pelajar berstatus alumni yang telah menamatkan Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan dan sedang melanjutkan pengajian dalam bidang kejururawatan, tambahnya.

Berita menyedihkan ini hadir selepas seorang pendaki gunung dari Brazil, Juliana Marins ditemui mati di Gunung Rinjani di Lombok, Indonesia selepas terjatuh ke gaung di lereng gunung berapi tersebut semasa mendakinya pada Sabtu lalu.

Juliana Marins (kanan) ditemui meninggal dunia di Gunung Rinjani.

Usaha mencari dan menyelamat diadakan untuk mengesan Marins, namun cuaca buruk nyata menyukarkan perkara itu untuk dilakukan.

Pihak penyelamat akhirnya menemukan mayat Marins selepas mereka menggunakan dron untuk mengesannya.

Salah seorang pencari berjaya sampai ke lokasi mayat mangsa pada kedalaman 600 meter. Ketika itu, Marins sudah tidak bernyawa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram