Guru kerap cuti panjang, mesyuarat PIBG tak dapat sambutan antara 20 tanda sekolah 'red flag'


  • Massa
  • Isnin, 30 Jun 2025

Apabila guru hilang motivasi, berasa terbeban atau berputus asa, ia petanda jelas wujudnya tekanan dalaman yang kronik, namun sering tidak disuarakan secara terbuka. — Gambar hiasan/Janaan Ai

"SEKOLAH yang sakit tidak akan sembuh dengan diam".  Itu peringatan tegas pakar pendidikan, Radin Muhd Imaduddin, apabila mendedahkan senarai 20 tanda awal sesebuah sekolah berada dalam zon bahaya atau ‘red flag’.

Beliau berkata, kebanyakan gejala itu berlaku secara senyap namun memberi kesan besar kepada kualiti pendidikan dan kesejahteraan warga sekolah jika tidak ditangani segera.

"Apabila terlalu banyak petanda ini muncul dalam satu sekolah, ia bukan lagi isu teknikal atau pentadbiran semata-mata. 

BACA LAGI : Bukan sekadar eksperimen media sosial, ‘Turmeric Light Trick’ boleh ancam kesihatan jika tak dikendalikan dengan betul

BACA LAGI : [VIDEO] Di sebalik tragedi Juliana Marins, pendaki wanita Malaysia rupanya turut membantu misi SAR guna dron

"Ia sudah memasuki fasa krisis budaya, kepimpinan dan paling bahaya krisis harapan," tegasnya dalam satu hantaran di laman Facebook pada Isnin. 

Antara tanda-tanda awal yang dibangkitkan termasuk kadar guru memohon pindah yang tinggi tanpa sebab munasabah, guru mengambil cuti sakit berpanjangan, hingga kepada gejala kemurungan dan pencen pilihan dalam kalangan guru berpengalaman.

Radin Muhd Imaduddin

Dia yang juga Felo Penyelidik Pendidik Madani berkata, apabila guru hilang motivasi, berasa terbeban atau berputus asa, ia petanda jelas wujudnya tekanan dalaman yang kronik, namun sering tidak disuarakan secara terbuka.

"Kadar kehadiran murid yang menjunam, kes disiplin meningkat, dan Persatuan Ibu Bapa (PIBG) yang hambar bukan berlaku secara kebetulan. Semua ini saling berkait," katanya.

Radin turut menyentuh soal kepimpinan sekolah yang sering bertukar tangan, budaya kerja berpuak sehingga menyebabkan segala pelan strategik tinggal hiasan dalam fail semata-mata.

Lebih membimbangkan, menurutnya, apabila murid hilang rasa hormat kepada guru, program sekolah menjadi sekadar kosmetik serta pengajaran dan pembelajaran (PdP) hambar tanpa nilai tambah.

Budaya toksik 

Senarai ‘red flag’ turut menyentuh isu dalaman seperti tiada bimbingan untuk guru baharu, pengetua yang mengamalkan sikap pilih kasih, serta mesyuarat yang hanya bersifat memberi arahan tanpa dialog terbuka.

"Apabila kantin jadi tempat gosip, kursus jadi ruang buat sambil lewa, dan guru saling sabotaj secara halus, itu bukan lagi masalah kecil. Itu penyakit budaya,” katanya.

Tambah Radin, sekolah yang hanya bergantung kepada ‘superman’ atau guru-guru tertentu juga berisiko lumpuh apabila individu itu tiada atau berpindah.

Perlu reformasi menyeluruh, bukan hanya pekeliling

Radin turut menegaskan, tidak cukup hanya bergantung kepada pekeliling atau arahan pentadbiran untuk memulihkan situasi sekolah yang tenat.

"Sekolah tidak akan pulih dengan SOP semata. Kita perlukan reformasi budaya, kepimpinan berhikmah, dan empati kolektif seluruh warga sekolah," jelasnya. 

Katanya, pemulihan perlu bermula dari dalam, dengan kesedaran bahawa setiap individu sama ada guru, pentadbir mahupun ibu bapa yang mempunyai peranan untuk menyembuhkan semula sistem yang semakin tenat.

"Kita tidak boleh hanya menuding jari. Soalnya, adakah kita menyumbang kepada penyelesaian atau hanya menambahkan kesunyian?" soal beliau.

Bertindak sebelum terlambat

unpleased young female teacher sits at table with school tools reading book putting hand on head in classroom

Guru yang mempunyai gejala kemurungan merupakan salah satu tanda sekolah itu berkemungkinan besar mempunyai budaya toksik. — Gambar Hiasan/Freepik

Radin menggesa semua pihak agar tidak menunggu hingga krisis menjadi parah, sebaliknya mula bertindak dari sekarang demi menyelamatkan masa depan institusi pendidikan.

"Reformasi sekolah mesti dimulakan sekarang, bukan esok. Bukan menunggu krisis lebih parah. Bukan menunggu murid-murid kita hilang rasa cinta kepada ilmu dan hilang percaya kepada institusi. 

"Kalau kita betul-betul mahu menyelamatkan masa depan, kita perlu berani bertindak, dan berani berubah. Bukan menyalahkan satu sama lain. Tapi, itulah yang paling kita buat," katanya menutup bicara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram