
KELAJUAN yang menjadi kekuatan utama syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebenarnya boleh bertukar menjadi kelemahan sekiranya tidak disokong dengan struktur organisasi yang kukuh.
Perkara itu dikongsikan oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bliese (M) Sdn. Bhd., Suhaimi Saiful menerusi satu hantaran di laman Facebooknya pada Selasa, berdasarkan pengalamannya pernah terlibat dalam dunia korporat dan PKS.
Menurut beliau, dunia PKS sering dikaitkan dengan keupayaan bergerak pantas dalam membuat keputusan dan melaksanakan tindakan satu kelebihan yang diakui sendiri oleh pihak korporat.
BACA LAGI : 'Ratu Pecut in the making', Nur Alferra catat rekod baharu 100m MSS Sabah
BACA LAGI : Lelaki dakwa rugi RM1,400 demi adik akibat diperdaya scammer rumah sewa
"Kalau orang korporat perlukan empat minggu untuk go-to-market, pengasas PKS cuma perlukan empat jam.
"Hari ini ada idea, esok sudah dilancarkan. Hari ini jualan merosot, malam ini sudah tukar ‘copy’,” katanya.
Jelas beliau lagi ia seperti satu norma di PKS yang mana semuanya memerlukan kelajuan.
"Speed (kelajuan) ini lah kekuatan SME. Cepat belajar, cepat sesuaikan diri dan cepat ambil tindakan," katanya
Namun begitu, Suhaimi mengakui bahawa kelajuan yang tidak disertai dengan sistem dan asas perniagaan yang kukuh boleh mengundang masalah jangka panjang.
"Ramai pemilik bisnes, termasuk saya sendiri dulu, membuat keputusan berdasarkan semangat dan trend.
"Tapi akhirnya pening bila duit masuk tapi tidak tahu ke mana hilang, staf ramai tapi tiada hala tuju, jualan naik tapi keuntungan masih rendah,” jelasnya.
Beliau turut membandingkan bagaimana syarikat korporat mampu beroperasi walaupun Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) tiada selama seminggu kerana adanya struktur dan sistem kerja yang teratur, berbeza dengan kebanyakan PKS yang terlalu bergantung kepada pengasas.
Katanya, membina struktur organisasi yang stabil amat penting agar kelajuan tidak menjadi 'racun' yang merosakkan bisnes sendiri.
"Laju itu bagus, tapi struktur itu penyelamat. Bina sistem perlahan-lahan. Faham margin sendiri. Latih pasukan betul-betul.
"Jangan skala sebab tengok orang lain skala, tapi skala bila betul-betul sudah bersedia," ujarnya.
Suhaimi menutup perkongsiannya dengan satu analogi ringkas namun mendalam:
"Kalau laju itu macam enjin, struktur itu brek dan stereng. Kedua-duanya kena ada, baru sampai ke destinasi," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram