[VIDEO] 'Tarikan' kayu eksotik hutan Pahang, isteri sanggup berhenti kerja bantu suami ceburi bidang kraf tangan


  • Bisnes
  • Selasa, 01 Jul 2025

Stella (kanan) turut aktif menyertai acara dan pameran perniagaan di sekitar Selangor.

SENI pertukangan kayu kini menjadi antara cabang kraf tangan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat tempatan.

Terletak di Tanjung Karang, Selangor, Stella Otob Art & Craft menawarkan pelbagai produk kraf tangan diperbuat daripada kayu.

Dari rantai kunci (keychain), pemegang telefon pintar, bekas pemetik api, kotak menyimpan barang, papan pemotong makanan, kayu urut, pisau sehingga beg tangan.

BACA LAGI: [VIDEO] Tak sentuh elaun belajar demi buat modal, mekanik wanita nekad sambung legasi bengkel ayah di Kuantan

BACA LAGI: Harga cecah RM40 sekilo, tanaman halia di Kota Tinggi bantu golongan kurang pendapatan miliki pekerjaan

Selain kepelbagaian produk, pemiliknya, Stella Otob, 48 dan suaminya, Diman Dicon, 53, turut membawa nafas baharu dan segar dalam dunia kraf dengan penggunaan kayu eksotik yang berkualiti tinggi.

Kata Stella, inisiatif untuk berkarya dengan sumber semula jadi seperti kayu hutan dimulakan oleh Diman ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekitar 2020.

"Saya sebelum ini bekerja di sebuah spa urutan badan dan rawatan wanita juga terpaksa berhenti.

"Suami saya pula memang minat dan mahir dalam kerja-kerja kayu, jadi kami mula secara kecil-kecilan.

"Mula-mula suami yang hasilkan kotak simpan barang perhiasan dan lama-kelamaan saya belajar untuk ikut jejak langkah dia," katanya kepada Majoriti.

Apa yang membezakan kraf kayu Stella dengan produk lain di pasaran adalah jenis kayu yang digunakan.

Katanya, kayu eksotik digunakan adalah seperti kayu arang bunga, meranti bunga, senai dan banyak lagi.

"Sebenarnya kayu-kayu jenis ini bukan macam jati dan tak dijual di kedai-kedai biasa.

"Jadi, kami ada pembekal berlesen yang ambil kayu tersebut di hutan dari Pahang. Tetapi, bukan mereka tebang, tetapi ambil daripada pokok yang dah tumbang.

"Bukan seluruh kayu boleh guna, kita biasanya akan guna sebahagian sahaja.

"Maksudnya kulitnya kami buang dan gunakan yang lembut seperti umbut itu untuk hasilkan produk," jelasnya.

Disebabkan kualiti kayunya tinggi, harga kraf yang dijual di pasaran juga akan menjadi mahal.

Menurutnya, pelanggan juga boleh memilih pelbagai jenis kayu yang diinginkan dan digabungkan untuk menghasilkan satu kraf.

"Harga pula bergantung pada saiz dan jenis kayu. Paling mahal kami pernah hasilkan adalah beg tangan kayu yang berharga lebih RM800.

"Sebab bahan digunakan mahal. Untuk tiga bongkah kayu kecil pun boleh cecah RM500 hingga RM600.

"Untung pun kami tidak ambil terlalu tinggi," ujarnya.

Dengan kedudukan strategik di laluan tarikan pelancong, ramai pengunjung berhenti untuk melihat dan membeli hasil kraf tangannya.

"Sambutan sangat memberangsangkan sebab Tanjung Karang juga dah jadi tarikan pelancong.

"Bila musim gaji pula memang akan naikkan jumlah jualan dan boleh cecah lebih RM3,000 sebulan bergantung pada musim," katanya.

Menariknya tentang perniagaan mereka adalah ia dijalankan secara santai iaitu di hadapan kawasan rumah dan beroperasi setiap hari.

Selain menjual, Stella juga menyediakan perkhidmatan bengkel untuk pelanggan yang mahu belajar membuat kraf kayu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram