
JATUH air mata seorang wanita warga emas di Malang, Indonesia selepas anak kandungnya sanggup menghantarnya ke sebuah rumah kebajikan.
Berdasarkan video tular di media sosial sejak Sabtu, Nasikah, 77, yang kelihatan lemah itu dihantar dua anak perempuannya.
Lebih memilukan apabila kedua-dua anak kandungnya itu juga enggan dimaklumkan sekiranya ibunya meninggal dunia.
Surga ada di bawah telapak kaki ibu
Tapi hari ini, sang ibu justru diantar ke panti jompo oleh anak kandungnya sendiri,dengan perjanjian yg menyayat hati
: Arief Camra
Semoga kita semua senantiasa menjaga ke dua orang tua dengan penuh kasih dan sayang pic.twitter.com/9IcG3myksc
— Miss Tweet | (@Heraloebss) June 27, 2025
Menurut seorang pengurus rumah kebajikan itu, Arief, dua anak perempuan Nasikah yang hanya dikenali sebagai SR dan F menyerahkan ibunya sepenuhnya kepada pihak pengurusan.
"Dalam dokumen yang sudah ditandatangan, mereka bersetuju untuk tidak dimaklumkan sekiranya ibu mereka meninggal dunia.
"Saya terpaksa jelaskan kepada mereka bahawa rumah jagaan ini hanya menerima warga emas yang sudah tiada keluarga.
"Namun, kerana tiada siapa yang mahu menjaga ibu ini, kami terpaksa menerimanya," katanya.
Sementara itu, Nasikah memaklumkan bahawa dia mempunyai tiga orang anak iaitu dua perempuan dan seorang lelaki.
Nasikah juga membesarkan ketiga-tiga anak seorang diri selepas ditinggalkan suaminya.
Namun, selepas anak lelakinya meninggal dunia, dua anak perempuannya memilih untuk tidak lagi menjaga atau berhubung dengannya.
"Saya tidak menyangka, setelah bersusah payah membesarkan mereka, begini nasib saya di hari tua," luahnya.
Kisahnya secara tidak langsung membuatkan orang ramai meluahkan kesedihan dan kemarahan mereka terhadap tindakan dua anak kandung Nasikah.
Situasi itu bagaimanapun perlu menjadi pengajaran kepada masyarakat tentang kepentingan menghargai dan membalas pengorbanan ibu bapa. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram