
HIDUP dalam keterbatasan ekonomi tidak sesekali mematahkan semangat seorang remaja perempuan berusia 18 tahun berasal dari Teguhan, Gunungkidul, Indonesia untuk menyambung pengajian di menara gading.
Meskipun dibesarkan dalam keluarga sederhana, Rofidah Nurhana Lestari berjaya diterima sebagai pelajar Fakulti Teknologi Pertanian di Universiti Gadjah Mada (UGM), Yogyakarta, Indonesia.
Kisahnya juga menjadi inspirasi ramai apabila tidak mudah berputus asa berusaha mencapai cita-citanya.
BACA LAGI: Fesyen elegan, klasik Putera Mateen dan Dayang Anisha serlah aura diraja di Royal Ascot 2025
Satu keluarga bahagia, seluruh keluarga ikut merasakannya
Rofidah anak supir truk keterima UGM Teknik Pertanian. Bapak Arief Phd, wakil rektor UGM datang untuk memberi apresiasi dari paragoncorp.
Gunung Kidul pic.twitter.com/5LngIYweoO
— Miss Tweet | (@Heraloebss) June 24, 2025
Memetik laporan agensi, bapanya, Timbul Marsono, 54, bekerja sebagai pemandu lori yang membawa dan menjual jerami di sekitar kampung.
Kata Timbul, pendapatan yang diperolehinya bagaimanapun tidak menentu bergantung kepada keperluan penduduk.
"Saya ambil jerami dari kampung lain, kemudian jual kepada penduduk kampung yang ada ternakan.
"Tetapi, apabila tiba musim hujan, permintaan jerami berkurangan. Saya terpaksa mencari barang lusuh dan terpakai untuk dijual.
"Apabila sunyi, kami mencari besi buruk untuk dijual," katanya.
Menurut ibu Rofidah, Darini, 52, pula, suaminya juga sering keluar awal pagi untuk mencari barang terpakai atau plastik dan pulang lewat malam selepas barangannya dijual.
Pendapatan suaminya sebagai pemandu lori sekitar RM391 (RP1,500,000) sebulan.
"Dalam sebulan, kami boleh pergi lapan hingga sepuluh kali, tetapi tidak semestinya akan dapat dapat ratusan ribu," katanya.
Bercerita tentang anak gadisnya itu, Darini berkata, Rofidah sememangnya seorang pelajar yang berdikari dan rajin.
Rofidah juga sering berjaga malam dari pukul 1 hingga 2 pagi untuk membuat persiapan menghadapi peperiksaan.
Bukan itu sahaja, Rofidah turut sering mendapat tempat pertama ketika di sekolah rendah hingga sekolah menengah.
Minatnya dalam membaca sekali gus membuahkan hasil apabila berjaya memenangi pertandingan menulis puisi dan menerbitkan karyanya dalam buku 'Catatan Perjuangan' bersama penulis terkenal, Najwa Shihab.
Selain menjadi pelajar terbaik di sekolah, Rofidah tidak lupa meringankan beban keluarganya.
Sementara menunggu tawaran universiti pada Ogos nanti, Rofidah sanggup bekerja sambilan di sebuah premis menjual telefon pintar untuk membantu keluarganya.
"Melihat keadaan ayah pada musim hujan ini, dia belum dapat bekerja secara optimum.
"Saya juga tahu bahawa untuk masuk ke dalam kolej memang memerlukan wang," katanya.
Kata Rofidah, semangatnya untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga ke universiti datang daripada dorongan ibu bapanya.
"Ibu bapa saya sentiasa beri motivasi untuk tidak berputus asa melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi walaupun jalani kehidupan biasa sahaja.
"Ayah saya sentiasa yakinkan bahawa pasti ada peluang biasiswa pada masa hadapan," katanya.
Rofidah pada masa sama menyimpan impian untuk bekerja di Kementerian Pertanian kerana mahu menyumbang dalam inovasi pengeluaran dan kemudahan dalam sektor pertanian Indonesia.
Dia kini menerima biasiswa 100 peratus daripada Kampus UGM untuk menampung kos pembelajaran sepanjang pengajiannya kelak. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram