
BARU-BARU ini tular di media sosial hari ini sebuah video yang mengundang kemarahan netizen apabila seorang lelaki warga emas dihalau dari sebuah surau oleh seorang wanita yang dipercayai dari pihak pengurusan.
Kejadian dipercayai berlaku di Musolla Halaman 11, Bandar Rimbayu, Selangor, melibatkan seorang lelaki tua yang sedang beriktikaf selepas solat Subuh.
Menurut perkongsian pengguna Facebook, Azhar Hilmi, lelaki tersebut adalah ayahnya yang saban pagi ke surau untuk solat dan membaca al-Quran sehingga selesai waktu solat sunat Dhuha.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Jangan biarkan', pegawai keselamatan terpaksa langgar protokol angkara masalah rumah tangga
“Lepas Subuh, macam biasa… abah akan duduk sekejap, baca al-Quran sambil tunggu waktu Dhuha. Dah selesai solat sunat Dhuha, baru dia akan gerak balik,” tulis Azhar dalam catatan yang kini mendapat perhatian meluas.
Namun pada pagi kejadian, seorang wanita dipercayai dari pihak pengurusan surau telah datang dan terus mengarahkan lelaki tersebut keluar dari ruang solat.
Lebih menyedihkan, tindakan itu disertai dengan rakaman video secara terbuka, seolah-olah warga emas itu melakukan kesalahan besar.
“Rasa geram dan sakit hati bila tengok video tu. Saya tulis ini bukan sebab nak viralkan siapa-siapa. Tapi saya nak tanya satu benda. Sejak bila surau jadi tempat eksklusif yang orang tua pun boleh kena halau?
“Abah saya bukan tidur dalam surau. Bukan buat bising. Bukan ganggu sesiapa. Dia cuma duduk diam, baca Quran, tunggu waktu Dhuha lepas tu nak balik. Tapi inilah yang berlaku.
“Kalau beginilah layanan kita terhadap orang tua yang datang ke rumah Allah, apa yang tinggal pada kita sebagai masyarakat?
“Kita jaga surau, ya. Tapi jangan sampai kita jaga bangunan, tapi lupa jaga adab. Kita boleh halau orang dari surau. Tapi kita tak boleh halau doa dan keluhan mereka dari langit. Geramnya lahai. ALLAH,” luahnya.
Dia menegaskan bahawa ayahnya bukan tidur atau membuat bising, sebaliknya hanya beribadat secara tenang tanpa mengganggu sesiapa
Perkongsian itu sebelum ini mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen, rata-rata mengecam tindakan wanita berkenaan dan menyatakan sokongan terhadap warga emas itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram