
TINDAKAN seorang wanita menegur dan dipercayai menghalau seorang warga emas lelaki yang sedang beribadah di sebuah surau di Bandar Rimbayu, Selangor mengundang pelbagai reaksi netizen selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial pada Jumaat.
Insiden yang berlaku di Musolla Halaman 11 itu menjadi perhatian umum selepas video berdurasi lebih seminit itu memaparkan wanita berkenaan meminta pak cik tersebut keluar dari ruang solat tanpa alasan yang jelas.
Susulan penularan video itu, pihak pengurusan Musolla Halaman 11 tampil memberikan penjelasan menerusi satu kenyataan rasmi di laman Facebook mereka pada hari yang sama.
BACA LAGI : [VIDEO] Di sebalik tragedi Juliana Marins, pendaki wanita Malaysia rupanya turut membantu misi SAR guna dron
BACA LAGI : [VIDEO] 'Jangan biarkan', pegawai keselamatan terpaksa langgar protokol angkara masalah rumah tangga
Menurut ahli jawatankuasa (AJK) Musolla, tindakan wanita tersebut adalah di luar pengetahuan dan persetujuan pihak pengurusan.
"Tindakan menghalau individu tersebut amat kami kesali dan kami bantah sekeras-kerasnya. Kami amat mengharapkan kehadiran sesiapa sahaja bagi mengimarahkan Musolla ini," jelas kenyataan itu.
Jelas mereka lagi, musolla berkenaan terbuka kepada semua individu yang ingin beribadah atau berehat sebentar, selagi mana ia tidak menimbulkan sebarang masalah kepada komuniti setempat.
Pihak AJK turut menegaskan bahawa segala kos utiliti seperti bil elektrik dan air ditanggung hasil daripada sumbangan infaq orang awam dan bukannya milik individu tertentu.
Dalam masa sama, pihak AJK turut memaklumkan bahawa mereka telah mengadakan pertemuan dengan pengurusan Badan Pengurusan Bersama (JMB) bagi menyelesaikan isu tersebut secara harmoni.
"Status Musolla sebagai harta bersama memang benar. Namun untuk tujuan ibadah, kami tetap membuka ruang kepada semua.
"Kami juga tidak bercadang untuk mengunci Musolla atau menghadkan penggunaannya," menurut kenyataan itu lagi.
Pihak pengurusan turut menyeru semua ahli kariah agar terus menyebarkan kebaikan dan menjaga keharmonian, selain menasihati agar sebarang persoalan atau isu berkaitan Musolla disalurkan terus kepada mereka.
Terdahulu, melalui video tular tersebut memaparkan seorang wanita meminta warga emas berkenaan walaupun hanya hadir untuk solat.
"Pakcik... minta maaf saya nak tanya. Pakcik buat apa dekat sini?
"Pakcik penduduk sini ke? Minta maaf ya tak boleh berada di sini sebab semalam kita ada kes kecurian, jadi selepas solat Subuh pakcik boleh beredar.
"Ini bukan hukuman tetapi ini adalah hak penduduk, mereka bayar bil penyelenggaraan," kata wanita tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram