
POIS Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu rangkaian militan warga asing dengan penahanan 36 warga Bangladesh yang disyaki terlibat secara langsung dalam gerakan militan radikal berpaksikan fahaman ekstremis dan ideologi keganasan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penahanan dilakukan menerusi tiga fasa operasi keselamatan terancang di sekitar Selangor dan Johor bermula 24 April lalu.
Katanya, menerusi operasi tersebut, lima daripada mereka dikenal pasti terlibat di bawah Bab VIA Kanun Keseksaan dan didakwa di Mahkamah Seksyen Shah Alam, Selangor serta Johor Bahru, Johor.
BACA LAGI : Ketagihan kuasa, anggap pembantu rumah 'barang kerja' punca majikan jadi kaki dera — Pakar
BACA LAGI : Tular kes pelajar perempuan dibuli dalam tandas di Klang, polis akan ambil tindakan tegas
"Sebanyak 15 individu lagi dikenakan perintah pengusiran, manakala 16 individu sedang disiasat berkaitan penglibatan mereka dalam gerakan militan itu,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Tegas beliau lagi, hasil risikan dan tindakan bersepadu Pasukan Cawangan Khas PDRM turut mendapati kumpulan itu membawa masuk fahaman pelampau berasaskan ideologi Daesh ke dalam negara.
"Kumpulan itu turut mewujudkan sel pengrekrutan dalam kalangan komuniti mereka bagi tujuan mengindoktrinasikan fahaman radikal, mengumpul dana untuk aktiviti keganasan dan menjatuhkan kerajaan sah di negara asal mereka.
"Saya ingin menegaskan bahawa Malaysia tidak akan menjadi tempat berlindung, apatah lagi medan anasir subversif untuk mana-mana gerakan ekstremis asing.
"Tindakan yang diambil ini membuktikan bahawa Kerajaan Madani amat serius dan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana elemen yang boleh mengancam keselamatan negara," katanya.
Dalam kenyataan yang sama, beliau turut memuji kecekapan pasukan keselamatan negara.
Katanya, kejayaan itu juga membuktikan kecekapan dan profesionalisme pasukan keselamatan negara khususnya PDRM dalam memelihara kedaulatan, keharmonian dan ketenteraman awam.
Beliau turut mengulangi jaminan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan terus memperkukuh keupayaan risikan.
Katanya, KDN juga menggandakan penguatkuasaan serta bekerjasama dengan agensi-agensi keselamatan dalam dan luar negara untuk memastikan Malaysia kekal aman, stabil dan bebas daripada ancaman keganasan.
"Sebarang cubaan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi militan atau pusat transit gerakan ekstremis akan ditangani dengan tindakan tegas, pantas dan berkesan," katanya dalam kenyataan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram