[VIDEO] 'Orang lain pinjam ah long, kami jadi mangsa', 3 rumah teres di Tasek Gelugor hangus, mangsa khianat 2 minggu berturut-turut


  • Massa
  • Rabu, 25 Jun 2025

Keadaan tiga buah kediaman selepas kejadian kebakaran pada Selasa.

PENGHUNI di kawasan perumahan teres di Lorong Tasek Gelugor Utama di Seberang Perai, Pulau Pinang dikejutkan dengan kejadian kebakaran melibatkan tiga buah kediaman pada Selasa. 

Kejadian berlaku ketika rata-rata penghuni di kawasan itu dikatakan sedang nyenyak tidur kira-kira pukul 4.52 pagi dan mengakibatkan lima buah kereta dan empat motosikal hangus dijilat api.

Menurut salah seorang mangsa, kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyasarkan rumah individu lain yang terlibat dengan pinjaman wang tidak berlesen (ah long), malah kira-kira seminggu sebelum kejadian, penghuni kediaman itu turut mendakwa menerima ugutan dari ah long terbabit apabila ada rumah yang disimbah cat dan petrol.

BACA LAGI: Mohd Khalid Ismail dilantik Ketua Polis Negara ke-15

BACA LAGI: Tular kes pelajar perempuan dibuli dalam tandas di Klang, polis akan ambil tindakan tegas

"Beberapa hari sebelum kejadian, rumah kami dan rumah jiran di nombor tiga sudah disimbah petrol dan cat. Di rumah nombor tiga turut ditinggalkan nota berbaur ugutan serta sebotol petrol. 

"Kami segera membuat laporan polis di Balai Tasek Gelugor dan kemudiannya dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kepala Batas," katanya memetik hantaran daripada akaun Facebook, Mohamad Asrul. 

Hasil siasatan awal mendapati ugutan itu sepatutnya ditujukan kepada penghuni rumah nombor 42 berdasarkan nama dan nombor kad pengenalan peminjam yang tertera dalam nota ancaman tersebut.

Bagaimanapun, selepas laporan dibuat, tiada sebarang tindakan susulan segera diambil dan pihak mangsa hanya diminta pulang menunggu kehadiran polis untuk mengambil bahan bukti – yang akhirnya tidak muncul.

Insiden tragis pada 24 Jun itu mengejutkan penduduk apabila berlaku letupan besar dipercayai berpunca daripada bahan letupan yang dilempar ke dalam rumah nombor tiga. Letupan menyebabkan api marak dengan pantas dan merebak ke rumah berhampiran.

“Bergegas keluar selamatkan diri selepas jiran-jiran bunyikan hon dan goyang pagar rumah untuk kejutkan kami dari tidur. Sempat keluar dari pintu rumah dan panjat pagar sebelah kiri sebab api dari rumah jiran sebelah kanan dah merebak besar dan banyak letupan berlaku.

"Hasil siasatan awal, satu bahan letupan dilemparkan ke dalam rumah jiran kami nombor tiga. Menyebabkan letupan besar dan api marak dengan laju. Tiga buah rumah, lima biji kereta dan empat biji motor terbakar kesan dari kebakaran ini.

"Orang lain pinjam ah long, tapi kami yang tak terlibat jadi mangsa kebakaran," luahnya. 

Surat ugutan yang ah long tinggalkan pada 16 Jun 2025.

Tiada kecederaan serius dilaporkan, namun kerugian dianggarkan ratusan ribu ringgit.

Individu berkenaan turut melahirkan rasa kesal kerana menjadi mangsa kepada hutang orang lain dan berharap si pelaku segera dibawa ke muka pengadilan.

Dalam pada itu, mangsa mengucapkan penghargaan kepada pihak bomba, polis, forensik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Jabatan Kebajikan Masyarakat, pihak zakat, wakil rakyat, Kawasan Rukun Tetangga Tasek Gelugor, ahli jawatankuas surau serta jiran dan kenalan yang tampil membantu dalam saat sukar ini. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram