
SEORANG lelaki mengalami kerugian $220,000 (kira-kira RM760,000) selepas terpedaya dengan skim pelaburan hartanah palsu yang sebenarnya hanyalah helah cinta daripada 'kekasihnya' yang merupakan isteri orang.
Felicia Tay Bee Ling, 49, dan suaminya, Eric Ong Chee Wei, 50, didakwa menipu David Tan, 48, dengan memperdaya supaya melabur dalam pembelian unit kondominium yang tidak wujud.
Kedua-duanya mengaku bersalah atas satu pertuduhan menipu pada 24 Jun lalu.
Apa yang mengejutkan Chee Wei, dikatakan tidak mengetahui bahawa isterinya itu menjalinkan hubungan sulit dengan mangsa sepanjang tempoh penipuan dilakukan.
Menurut dokumen mahkamah, Bee Ling merupakan suri rumah, manakala Chee Wei pernah bekerja sebagai ejen hartanah sejak 1999 hingga 2006 sebelum bekerja sambilan.
Bee Ling dikatakan mengenali David pada 2010 dan menjalinkan hubungan sulit dengannya sejak 2014 hingga 2017.
Sekitar September 2015, Bee Ling dan Chee Wei bersekongkol untuk memperdaya David, kononnya terdapat peluang pelaburan membabitkan pembelian unit kondominium pada harga diskaun.
Mangsa dikatakan tidak diberikan sebarang dokumen rasmi berkaitan jual beli, sebaliknya hanya menerima catatan tulisan tangan kononnya mengandungi maklumat pelaburan. — Gambar hiasan
Bee Ling memaklumkan kepada mangsa bahawa syarikat pemaju ingin melepaskan unit tidak terjual di Residences @ Emerald Hill dan suaminya, yang pernah terlibat dalam industri hartanah, boleh menguruskan pembelian tersebut.
Tan dijanjikan bahawa setiap pelaburan akan memberikan pulangan tinggi dalam tempoh tiga bulan.
Mangsa kemudiannya menyerahkan sejumlah RM760,000 dalam tujuh transaksi berasingan dari September hingga November 2015 sebagai deposit keselamatan untuk pembelian tujuh unit kondominium.
Siasatan mendapati enam daripada tujuh unit yang ditawarkan tidak wujud, manakala satu lagi tidak pernah tersedia untuk dijual.
Bagi menyakinkan mangsa, Chee Wei telah mendapatkan borang option-to-purchase (OTP) daripada seorang jurujual hartanah tanpa pengetahuan individu tersebut dan Bee Ling menggunakannya bagi menyediakan dokumen palsu.
Bee Ling turut menghantar imej borang OTP tersebut kepada Tan melalui aplikasi WhatsApp.
Mangsa tidak diberikan sebarang dokumen rasmi berkaitan jual beli, sebaliknya hanya menerima catatan tulisan tangan yang kononnya mengandungi maklumat pelaburan.
Bee Ling juga meminta Dan agar tidak mendedahkan peluang pelaburan tersebut kepada pihak luar kerana ia didakwa sebagai tawaran eksklusif.
Menjelang awal 2016, selepas gagal menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan, David mula mengesyaki sesuatu.
Bee Ling kemudiannya menyediakan satu dokumen pengakuan hutang (IOU) yang ditandatangani Chee Wei bertarikh 8 Januari 2016, bagi memberi keyakinan palsu bahawa wang tersebut akan dibayar balik.
Hubungan sulit antara Bee Ling dan Tan berakhir pada Mac 2017.
Mangsa hanya mengetahui kebenaran apabila menghubungi syarikat OrangeTee pada Disember 2019 dan dimaklumkan bahawa semua urus niaga yang dinyatakan dalam dokumen yang diterimanya adalah tidak sah.
Lalu David membuat laporan polis keesokan harinya, dan pasangan tersebut ditahan pada Jun 2022.
Setakat ini, Chee Wei telah membayar semula RM42, 379 kepada mangsa sebagai sebahagian daripada pampasan.
Mahkamah dimaklumkan bahawa Bee Ling mengambil kesempatan atas kepercayaan yang diberikan oleh David kerana hubungan peribadi antara mereka.
Mangsa juga menyangka Chee Wei mempunyai pengetahuan dalam bidang hartanah kerana latar belakang kerjayanya sebelum ini.
Kes ini dijadualkan untuk sebutan hukuman pada Julai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram