
PIHAK polis sedang menyiasat sekiranya terdapat elemen kongsi gelap dalam kes lelaki ditemukan mati ditembak dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda di hadapan kedai menjual motosikal di Taman Meru Utama, Klang pada Khamis.
Menurut laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner, S Vijaya Rao berkata, setakat ini, pihaknya sudah memanggil beberapa individu untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa yang bekerja sendiri itu sedang menemani rakannya yang hendak membeli motosikal terpakai di kedai terbabit. Mangsa dipercayai ditembak dari jarak dekat dengan proses bedah siasat masih dijalankan ketika ini,” katanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Kes tembak Cheras: Suspek masih bebas, 18 individu dirakam keterangan
BACA LAGI: [VIDEO] Pak guard terpaksa tembak kaki lelaki agresif acu senjata tajam di Banting
Polis menemukan mangsa di dalam kereta tersebut dalam keadaan mengiring.
Jelasnya lagi, pihaknya sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar kejadian bagi mengenal pasti suspek terlibat dalam kes bunuh tersebut.
Pada Jumaat, Vijaya Rao dilaporkan berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 3.37 petang dan setibanya anggota di lokasi, mereka menemukan mayat warga tempatan berusia 46 tahun di tempat duduk pemandu dalam keadaan mengiring.
Sementara itu, seorang peniaga wanita berusia 50-an memberitahu kedengaran bunyi seakan-akan tembakan atau mercun sekitar pukul 3 petang.
"Saya dan beberapa orang lagi di kedai memang dengar bunyi tersebut, saya ingat orang tembak gagak (operasi menembak burung gagak) atau main mercun. Selepas saya lihat orang berkumpul di sekitar kereta mangsa, baru saya tahu bahawa ada orang kena tembak di hadapan kedai motosikal.
"Bunyi itu tidak begitu kuat tapi saya dengar dalam lima ke enam kali," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram