
USAHA sedang dijalankan oleh polis untuk mengenal pasti identiti suspek yang terlibat dalam insiden pembunuhan dua lelaki tempatan di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras, pada Selasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Ridzuan Khalid berkata, siasatan lanjut sedang giat dijalankan dan setakat ini, belum ada tangkapan dilakukan.
“Suspek masih belum dikenal pasti dan siasatan diteruskan oleh pasukan penyiasat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
BACA LAGI: Iron Dome hanya mampu bertahan 10-12 hari lagi tangkis misil Iran
BACA LAGI: [VIDEO] Konflik Iran-Israel makin tegang, kapal perang AS dikerah ke Timur Tengah
Kedua-dua mangsa yang berasal dari Sibu, Sarawak meninggal dunia di tempat kejadian. — Facebook
Menurutnya lagi, seramai 18 individu telah dipanggil dan dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah malam, dua lelaki berusia lingkungan 40-an maut ditembak sekumpulan suspek di hadapan lobi kompleks beli-belah berkenaan ketika sedang menuju ke arah kereta mereka.
Dipercayai, kumpulan lelaki itu tiba-tiba berlari ke arah mangsa sebelum melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat, menyebabkan kedua-duanya rebah berlumuran darah.
Suspek kemudiannya melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Perodua Alza.
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat ditembak di bahagian badan dan kepala.
Difahamkan, kedua-dua mangsa berasal dari Sibu, Sarawak dan dipercayai terbabit dalam aktiviti jenayah rentas negeri.
Namun motif sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram