
PENGALAMAN menganjurkan program rentas budaya bersama universiti tempatan China ternyata membuka mata 13 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama dua pengiring tentang kesungguhan pelajar asing untuk mendalami bahasa dan budaya Malaysia.
Dianjurkan pelajar Kolej Sepuluh, Universiti Putra Malaysia (UPM), program SETAREX Yunnan Cultural and Recreational Exploration mencipta sejarah tersendiri apabila inisiatif mobiliti ini bukan sahaja menelusuri keindahan budaya dan landskap semula jadi Yunnan, malah berjaya memperkukuh jaringan strategik bersama komuniti tempatan, institusi pendidikan serta alumni UPM di peringkat antarabangsa.
Program yang berlangsung pada 2 hingga 16 Mei lalu itu merentasi enam bandar utama, Kunming, Chenggong, Shadian, Na Jia Ying, Lijiang dan Dali, program ini membuktikan keupayaan mobiliti pelajar sebagai pemangkin hubungan dua hala Malaysia–China yang bermakna, berimpak dan mampan.
Pendekatan ini sejajar dengan hasrat Pelan Strategik UPM 2021–2025 yang mengangkat pengantarabangsaan sebagai teras pembangunan holistik pelajar.
Menurut ketua delegasi, Amir Heiqal Mohd Rusli, SETAREX Yunnan menjadi medan latihan nyata dalam mendidik mahasiswa mengenai realiti dunia sebenar.
“Kami tidak hanya melawat, kami membina hubungan. Program ini menjadi wahana untuk pelajar keluar dari zon selesa, menyesuaikan diri dengan budaya asing, dan menjadi duta kecil universiti dan negara, memperkenalkan budaya Malaysia sambil menghargai kepelbagaian budaya Yunnan.”
Pelajar UPM mengabdikan kenangan ketika penganjuran program SETAREX di China baru-baru ini.
Melalui sesi Sejam Bersama Alumni (SEBA) Global Edition, delegasi diberi peluang berinteraksi bersama alumni antarabangsa UPM dari Yunnan yang kini menyumbang dalam bidang pendidikan dan pembangunan masyarakat.
Mereka berkongsi kisah perjalanan hidup di Malaysia serta nilai budaya yang membentuk mereka hari ini.
SEBA 3.0 di Yunnan Minzu University (YMU), Chenggong menampilkan Dr. Morion, pegawai Bahagian Antarabangsa YMU, dengan wacana bertajuk “Language Proficiency, Cultural Diplomacy”.
SEBA 4.0 pula menampilkan Cikgu Shirley, pengasas dan guru di Lan Yuan Nature Education Center, Na Jia Ying, dengan wacana bertajuk “Dialogues of Heritage: Where Art and Tradition Converge – Malaysia & China”.
Sesi ini turut melibatkan komuniti sekitar dan disiarkan secara dalam talian, membolehkan penyertaan rentas negara.
Pelajar UPM mengambil peluang mempelajari seni kaligrafi Cina.
Komuniti tempatan berperanan sebagai rakan strategik dalam menjayakan pembelajaran rentas negara. Delegasi SETAREX menyertai aktiviti bersama pelajar dan masyarakat, termasuk komuniti Muslim di Shadian dan Na Jia Ying. Pengarah Program, Nazmi Amir Zainol Akmar, menekankan bahawa penyertaan aktif ini memberikan pengalaman pembelajaran yang mendalam.
“Saya amat terharu menyaksikan kesungguhan pelajar Jabatan Bahasa Melayu di Yunnan Minzu University (YMU). Mereka bukan sahaja mempelajari bahasa, malah menghayati seni warisan kita seperti silat, wayang kulit, nyanyian dan tarian tradisional. Ini membuktikan bahawa budaya kita dihargai dan diraikan di luar negara,” ujarnya.
Aktiviti pertukaran budaya seperti persembahan tarian, sajak, busana tradisional, serta kaligrafi Cina dan batik Malaysia, memperkukuh komunikasi antara budaya.
Delegasi turut memasak makanan tradisional Malaysia seperti nasi lemak dan kuih onde-onde dan mempelajari penyediaan makanan Yunnan seperti Liang Juan Fen dan dumpling.
Pelajar UPM juga didedahkan dengan penyediaan makanan masyarakat Cina.
Nazmi menyifatkan pengalaman ziarah ke beberapa masjid termasuk Masjid Shuncheng di Kunming, Masjid Huihuiying di Chenggong dan Masjid Besar Shadian sebagai antara yang paling meninggalkan kesan bermakna.
Eksplorasi delegasi ke Shadian dan Na Jia Ying, dua bandar utama komuniti Muslim di Yunnan, membuka horizon pemahaman peserta terhadap realiti kehidupan Islam di China.
“Kami belajar cara masyarakat Muslim di Yunnan menghayati Islam dalam konteks budaya mereka sendiri. Layanan mereka membuatkan kami rasa seperti di kampung halaman,” ujarnya.
Interaksi bersama institusi pendidikan seperti Lion Education dan Erlinge Education membuka potensi kerjasama dalam penganjuran program pembelajaran bahasa Inggeris di luar bilik darjah, termasuk pelaksanaan di Malaysia.
Sesi perkongsian budaya dua hala bersama YMU, Lijiang Culture and Tourism College (LCTC) dan Lan Yuan Nature Education Center, merangkumi aktiviti seni kaligrafi, tarian etnik, masakan tradisional serta batik Malaysia, telah memperkukuh semangat saling menghormati dan persefahaman antara dua sistem pendidikan yang berbeza.
Delegasi juga berpeluang menyertai sesi bersama pemain industri tempatan seperti Nafu Food Co. Ltd., Master Qi Flower Cake, dan Tianfang Food Co. Ltd., yang memberikan pendedahan tentang operasi industri halal di China.
Lawatan ke premis-premis ini memperjelas aspek seperti pensijilan, kawalan kualiti, dan strategi penembusan pasaran antarabangsa, khususnya dalam kalangan pengguna bukan Muslim.
Salah satu detik bermakna ialah kunjungan ke kediaman Sister Mariam, pengasas Nafu Food Co. Ltd., yang berkongsi perjalanan beliau dalam membangunkan produk halal berkualiti dalam konteks masyarakat majoriti bukan Muslim.
Perkongsian beliau menyentuh nilai-nilai Islam dalam perniagaan serta kepentingan integriti dan kepekaan budaya dalam keusahawanan, sekali gus memperkukuh kefahaman rentas budaya dan perspektif sosial dalam dunia perniagaan global.
Ketahanan dan Pembelajaran Holistik Rekreasi dalam SETAREX bukan sekadar aktiviti fizikal, tetapi sebahagian daripada latihan pembentukan karakter dan semangat berpasukan.
Aktiviti seperti brisk walk di Jacaranda Street, Tasik Cui dan Tasik Qilu, senaman bersama pelajar tempatan, serta pendakian Tiger Leaping Gorge dan Yulong Snow Mountain, menguji ketahanan fizikal, mental dan kerjasama.
Menurut Nik Nurin Jazlina, Pengarah bersama SETAREX, cabaran seperti pendakian ke altitud 4,680 meter dalam suhu rendah dan oksigen tipis membuka ruang pembelajaran mendalam.
“Bergerak sebagai individu itu mudah. Berekreasi sebagai satu pasukan itu mencabar. Tapi kami saling menyokong. Di situ terbinanya kepercayaan dan kekuatan pasukan,” ujar beliau.
Antara aktiviti dijalankan pelajar UPM ketika program SETAREX di China.
“Gabungan budaya, cabaran fizikal dan hubungan antarabangsa menjadikan SETAREX satu model pengantarabangsaan pelajar yang berimpak dan relevan dengan keperluan masa depan,” jelas Amir Heiqal.
Beliau menegaskan bahawa program ini bukan penutup, tetapi pembuka jalan kepada misi lebih besar.
“Dari Yunnan, kami pulang bukan sekadar dengan pengalaman, tetapi dengan jaringan, kefahaman dan semangat untuk terus mengukuhkan hubungan antarabangsa melalui platform yang lebih luas dan inklusif,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram