'Apabila pelajar ini senyum, pegang tangan dan tanya khabar, saya teringat anak sendiri', penuntut perubatan UPM sentuh hati gelandangan, ibu tunggal dan keluarga miskin di ibu negara


  • Massa
  • Ahad, 08 Jun 2025

Penuntut perubatan dari UPM tampil menyantuni golongan gelandangan dan masyarakat terpinggir di kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur.

SEKUMPULAN penuntut perubatan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) tampil menyantuni golongan gelandangan dan masyarakat terpinggir di kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur menerusi sebuah klinik bergerak yang menawarkan saringan kesihatan percuma.

Inisiatif itu digerakkan oleh Persatuan Pelajar Perubatan Asia (Amsa) Malaysia dengan kerjasama Persatuan Kesihatan Jantung Malaysia (MyHeart) melalui program outreach Feed the Needy 2.0 .

Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk pemeriksaan tekanan darah, ujian gula dan konsultasi perubatan asas khusus untuk mereka yang telah lama tidak mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan.

“Sangat menyayat hati apabila mengetahui ada individu hidup bertahun-tahun tanpa peka keadaan kesihatan mereka sama ada menghidap darah tinggi atau diabetes.

“Menjadi doktor bukan sekadar merawat di dalam klinik, tetapi memahami dan menghargai insan di sebalik setiap kisah.

"Setiap orang berhak dilihat, diberi perhatian dan dilayan secara bermaruah," kata Pengarah Program, Chin Min Le yang merupakan pelajar tahun kedua dan Presiden Amsa-UPM.

BACA LAGI:  Ramai tak tahu, cara 'scroll', pegang telefon pintar dedah sisi tersembunyi personaliti anda

BACA LAGI:  Tak perlu menunggu lama, saintis berjaya mencipta ujian ultra pantas yang boleh kenal pasti jenis tumor otak dalam masa 2 jam

Program itu berjaya menarik kehadiran ramai individu daripada pelbagai latar belakang termasuk warga emas, ibu tunggal dan kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah. 

Ramai antara mereka berkongsi kesukaran mendapatkan rawatan asas akibat pengalaman hidup.

Seorang lelaki warga emas yang telah tinggal di jalanan lebih 10 tahun meluahkan rasa terharu.

"Saya sangka tiada siapa peduli kami lagi. Bila lihat pelajar-pelajar ini senyum, pegang tangan kami dan tanya khabar, saya teringat akan anak-anak sendiri," katanya. 

Seorang wanita muda yang kini berada di sebuah rumah perlindungan turut berkongsi perasaannya.

"Kami bergelut untuk dapatkan makanan, apatah lagi nak jumpa doktor. Mungkin ini nampak kecil bagi orang lain tetapi bagi kami, ia sangat besar. Terima kasih kerana sudi membantu kami," katanya.

Bagi pelajar yang terlibat, pengalaman itu bukan sekadar latihan di luar kuliah, malah menjadi pendedahan awal terhadap realiti sebenar dunia perubatan.

“Di sinilah titik mula sebenar bagi seorang doktor iaitu dalam renungan mata insan-insan yang sering dipinggirkan. Inilah sebab kami belajar bersungguh-sungguh iaitu agar suatu hari nanti kami mampu membawa perubahan,” tambah Chin.

Selain rawatan kesihatan, para sukarelawan turut mengedarkan kit kesihatan asas dan makanan ringan kepada mereka yang memerlukan.

Amsa-UPM berharap program itu dapat diteruskan secara berkala kerana usaha berterusan untuk mendekati dan membantu komuniti yang kurang bernasib baik di seluruh negara.   Bintang

Boleh follow media sosial Majoriti di  TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel  dan  Telegram