SGHA 2024 iktiraf usaha murni, rai kebaikan rakyat Malaysia


  • Bizz
  • Rabu, 13 Nov 2024

Antara individu yang dinobatkan sebagai pemenang dalam SGHA pada tahun ini.

SELAMA satu dekad, Anugerah Star Golden Hearts (SGHA) terus mengiktiraf organisasi dan individu yang memberi sumbangan tanpa mengenal erti penat lelah demi membantu masyarakat di Malaysia.

Tahun ini, dalam edisi ke-10, SGHA telah mengenal pasti 10 pemenang baharu yang sumbangan mereka telah mendorong berlakunya perubahan serta meninggalkan impak kepada negara menerusi usaha berterusan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Star Media Group (SMG), Chan Seng Fatt berkata, usaha murni pemenang-pemenang tersebut memberi motivasi kepada SMG untuk meneruskan misi syarikat.

BACA LAGI: SMG lantik Woon Foon Meng pengerusi baharu, Johan Jaaffar dan Lim Cheng Ling jadi pengarah

BACA LAGI: SMG beri pengiktirafan buat pekerja berkhidmat lebih 15 tahun pada ulang tahun ke-53

"Kisah-kisah anda memberi inspirasi kepada kami untuk percaya dan yakin betapa bermaknanya kebaikan yang dilakukan dan terus membantu individu yang memerlukan.

"Kisah-kisah yang berkait tentang kasih sayang, perpaduan dan ketahanan ini akan terus membentuk sebuah negara yang menitikberatkan nilai kebaikan dan menghargai kehidupan," katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis penganugerahan di Menara Star, Petaling Jaya pada Selasa.

WhatsApp Image 2024-11-13 at 10.59.18 AM

Persembahan meriah: Kanak-kanak dari Pusat Autisme IDEAS yang merupakan Penerima Impak Sosial Star membuat persembahan semasa majlis penganugerahan SGHA di Menara Star.

Bertemakan 'Power of One, the Strength of Many', Anugerah SGHA 2024 turut meraikan ulang tahun ke-10 sejak diperkenalkan pada 2015.

Bertutur lanjut, Seng Fatt berkata, SGHA yang dimulakan melalui usaha kecil kini telah berkembang menjadi sinar harapan yang menarik perhatian ramai individu daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Katanya lagi, perkara itu juga dilihat mampu menonjolkan serta membuktikan kekuatan sebenar rakyat Malaysia.

“Kami telah membuktikan secara konsisten bahawa kasih sayang dan perpaduan adalah teras kepada identiti kita sebagai rakyat.

"Ulang tahun ke-10 kami adalah sangat istimewa kerana ia bukan sahaja memperingati kejayaan SGHA tetapi juga menandakan pencapaian penting iaitu memberi penghargaan kepada 100 wira tidak didendang yang sudah kami raikan sepanjang dekad yang lalu," katanya.

Beliau berkata, SGHA merupakan bukti kepercayaan terhadap kuasa transformasi penceritaan.

“Kisah-kisah tersebut memberi inspirasi dan sangat bermakna. Ia menyatukan harapan, kebaikan, rasa syukur dan perpaduan.

"Sepanjang dekad yang lalu, kami tetap komited untuk mengetengahkan nilai kemanusiaan dengan meraikan individu yang berbuat kebaikan dan menunjukkan rasa kasih serta sayang mereka hingga menjadi aspirasi buat kita semua," katanya.

WhatsApp Image 2024-11-13 at 11.00.42 AM

Peronda Orang Asli (kanan) daripada pasukan Anti-Pemburuan Haram WWF-Malaysia berinteraksi dengan pasukan Persatuan Pemuliharaan Penyu Malaysia ketika penganugerahan SGHA di Menara Star.

Pada masa sama, Seng Fatt turut menzahirkan ucapan tahniah kepada para pemenang dan menjelaskan bahawa sumbangan dan pencapaian mereka telah mengubah dunia menjadi lebih baik.

“Anda mengingatkan kami bahawa wira bukan hanya tercatat nama mereka dalam buku sejarah atau kisah rekaan. Wira-wira ini ada dalam kalangan kita, secara diam-diam mengubah kehidupan dengan setiap gerak isyarat kebaikan,” katanya.

"Kami meraikan setiap sumbangan dan pencapaian anda dengan mengiktiraf bahawa setiap seorang daripada anda telah membantu membentuk dunia yang lebih baik. Dengan itu, saya berterima kasih kepada setiap seorang daripada anda semua!" kata Seng Fatt lagi.

Para pemenang, yang masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak RM15,000 telah dipilih oleh panel tujuh juri daripada lebih 500 pencalonan tahun ini.

Ketua Juri SGHA, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata, anugerah itu merupakan manifestasi usaha kolektif rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat.

“Bertugas sebagai ketua juri merupakan pengalaman yang memuaskan, mengingatkan saya tahun demi tahun tentang transformasi kebaikan, kasih sayang dan perpaduan.

"Saya telah menyaksikan keberanian dan kemurahan hati masyarakat meninggalkan satu legasi perubahan yang berkekalan di seluruh komuniti,” katanya.

Lam Thye berkata, anugerah itu telah memberi inspirasi kepada ramai rakyat Malaysia untuk terus melakukan kebaikan dan memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat.

"SGHA lebih daripada sekadar anugerah, trofi atau gelaran.

“Ia mempunyai tujuan yang lebih mendalam iaitu untuk memberi inspirasi kepada orang lain agar mengambil inisiatif dalam melakukan kebaikan kepada masyarakat dan alam sekitar," jelasnya.

Antara inisiatif yang diiktiraf dalam SGHA 2024 tahun ini termasuklah pemuliharaan hidupan liar, pembangunan komuniti, kebajikan sosial, alam sekitar dan biodiversiti, serta bantuan krisis dan bencana.

SGHA24_Infographic_BM_OPOL_6.3cmx21cm_page-0001

Senarai nama pemenang Majlis Anugerah SGHA 2024.

Pemenang SGHA 2024 terdiri daripada RIMAU, Reef Check Malaysia, Silatul Rahim Dahman, Pasukan Anti-Pemburuan Haram Orang Asli WWF-Malaysia, Food Aid Foundation, Profesor Dr Thong Meow Keong, APE Malaysia, Pasukan Pemuliharaan Hidupan Liar Sarawak WWF-Malaysia, Persatuan Pemuliharaan Penyu Malaysia dan Search and Rescue Dogs Malaysia.

Majlis anugerah SGHA 2024 juga diserikan dengan persembahan muzik khas oleh penerima Anugerah Impak Sosial Star 2024 iaitu IDEAS Autism Centre.

Salah seorang pelajarnya, Muhammad Dharwisy ‘Ukaysyah Muhammad Azam Syah membacakan puisi berjudul ‘Terima Kasih Perwira Kami' sebagai tanda penghargaan kepada semua pemenang atas sumbangan mereka yang luar biasa.

Pemenang SGHA pada tahun sebelumnya turut dijemput hadir dan beberapa daripada mereka membuka gerai untuk mempamerkan hasil kerja yang dibuat termasuk IMAM Response & Relief Team (IMARET).

Untuk rekod, SGHA adalah anugerah tahunan anjuran The Star bagi meraikan serta mengiktiraf wira-wira tidak didendang di Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati sgha.com.my. — The Star/ JUNAID IBRAHIM

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram